
BACHOK: Program berkebajikan yang dilaksanakan kerajaan Kelantan sejak lebih 30 tahun lalu diperkasakan lagi bagi memberi manfaat lebih menyeluruh kepada rakyat.
Kali ini, bagi memastikan agenda anak muda bermaruah, PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) Kelantan memperluaskan program berkebajikan kepada golongan mahasiswa.
Sebelum ini mereka disediakan perkhidmatan bas percuma untuk balik mengundi dan insentif RM500 bagi pelajar cemerlang SPM, STAM dan STPM.
Namun, kali ini turut ditawarkan Kad Siswa Kelantan (It’am Siswa) dan Kad Siswa Kelantan (tiket pulang).
Selain itu, bagi membina keluarga bahagia, turut disenaraikan bantuan sewa rumah keluarga muda, kuota khas rumah dhuafat, kad takaful dan Bantuan Sara Hidup.
Perkara itu terkandung dalam Program PN Kelantan sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Agenda itu yang mengemukakan 18 tawaran dengan 96 program akan dilaksanakan PN dalam tempoh lima tahun akan datang jika diberi mandat rakyat pada 12 Ogos ini. Ia bertema ‘Kelantan Maju Rakyat Sejahtera’.

Mengulas tawaran tersebut seorang belia, Mohd Hakimi Zulkifli, 32, berkata, sepanjang 33 tahun pemerintahan PAS di Kelantan banyak janji pilihan raya lalu ditunaikan bagi manfaat rakyat.
Katanya, tawaran PAS dan PN lebih realistik dan sesuai dengan kemampuan dan pengalaman PAS mentadbir kerajaan negeri.
“Ada program yang wajar diteruskan contohnya program rumah dhuafat bagi penduduk miskin dan anak-anak muda,” katanya ketika ditemui.
Suhairi Farizal, 20, pula tertarik dengan tawaran segmen Anak Muda Bermaruah dengan penubuhan felo Darul Naim bagi mengasah bakat dan kepimpinan golongan itu.
“Saya nampak anak muda kita ada jati diri dan tidak terikut budaya Barat, yang mana molek sepanjang pemerintahan lepas kita teruskan dan ditambah baik,” katanya.
Bekas pelajar UiTM, Nur Salsabiela Md Sha’ari, 24, berkata langkah PAS memperkenalkan Kad Siswa Kelantan dan Kad Siswa Kelantan amat disambut baik.
Katanya, usaha tersebut mampu meringankan beban yang dihadapi pelajar sepanjang berada di kampus.
“Manifesto ini sangat bagus antaranya menjaga kebajikan mahasiswa,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/8/2023




















