Manifesto PN Kedah nikmat untuk semua

- Advertisement -

JITRA: PERIKATAN NASIONAL (PN) Kedah menampilkan 17 tawaran dalam manifesto ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’.

Bertemakan “Kekal Sanusi, The Greater Kedah’ ia mencangkumi keperluan untuk memenuhi hasrat menjadikan Kedah ‘The Greater’ menjelang 2035 sebagaimana terkandung dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035.

- Advertisement -

Gimik Pelancaran Tawaran PN Kedah disempurnakan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, sempena Jelajah Mega PNBest Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, di Dataran Darul Aman, Jitra, malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ahmad Yahaya; calon DUN Jitra, Prof Dr Haim Hilman Abdullah dan calon Bukit Kayu Hitam, Dato’ Halimaton Saadiah Saad serta Yang Dipertua PAS Kubang Pasu, Ustaz Zulhasmi Osman.

Sebanyak 17 tawaran yang terkandung dalam manifesto itu dengan ada yang sudah dilaksanakan. Sebahagian pula akan digarab sejajar ‘Kedah Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Berbakti’.

Tawaran tersebut meliputi:

Tadbir Urus
Memperteguhkan pentadbiran negeri yang profesional dan berintegriti dengan menekankan aspek kesejahteraan serta keadilan kepada seluruh rakyat Kedah tanpa mengira batasan agama, kaum dan fahaman politik.

Penyampaian Perkhidmatan Efisien
Meningkatkan penyampaian perkhidmatan efisien melalui kecekapan institusi kepimpinan selain bantuan dilaksanakan secara telus, cepat untuk memastikan tiada golongan yang tercicir.

Pendidikan Holistik
Memperhebatkan agenda pendidikan dengan memberi penumpuan kepada pembangunan modal insan ‘Ahsanu Taqwim’, menaik taraf institusi pendidikan, kebajikan, kemahiran warga pendidik dan menambah bantuan pendidikan rakyat secara bersasar.

Amar Makruf Nahi Mungkar
Memperkasakan institusi masjid sebagai pusat utama kegiatan masyarakat, pengajian dakwah dan kebajikan melalui program amar makruf nahi mungkar untuk memupuk budaya murni.

Pelaburan Berimpak Tinggi
Memastikan komitmen pelaburan domestik dan antarabangsa dengan pelbagai projek berimpak tinggi serta menyasarkan RM10 bilion setahun seperti mana Pelan Kedah 2035.

Peluang Pekerjaan
Sasaran 100,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 10 tahun melalui pelaburan projek berimpak tinggi termasuk yang telah dirancang seperti Kedah Rubber City (KRC), Kedah Aerotropolis, Zon Ekonomi Sempadan Khas Delapan (SBEZ), Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) dan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).

Kebajikan Rakyat
Meneruskan agenda membantu rakyat berbilang kaum melalui program yang telah dilaksanakan seperti Bantuan Beras Sejahtera, Anakku Sejahtera, Khairat Kematian dan akan memperkenalkan bantuan baharu prihatin rakyat.

Wanita Dan Keluarga
Mewujudkan Pusat Pembangunan Wanita di setiap daerah bagi merancakkan program pemerkasaan wanita dan institusi keluarga.

Belia, NGO dan Sukan
Mengangkat peranan belia sebagai pembuat polisi dan penggerak masyarakat melalui penglibatan NGO secara proaktif serta merakyatkan sukan teras di samping menaik taraf kemudahan pusat sukan di setiap daerah.

Kelestarian Bekalan Air
Menyelesaikan isu bekalan air bersih secara menyeluruh serta mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) kepada 25 peratus menjelang 2037.

Hub Pengeluaran Makanan
Menjadikan Kedah sebagai hub mega pengeluaran makanan di Malaysia dengan mengoptimumkan penggunaan teknologi terkini serta meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan melalui inisiatif secara holistik.

Hak Milik Tanah Rakyat
Menyediakan lot tanah kediaman mampu milik bagi rakyat Kedah yang berpendapatan rendah serta meneruskan proses kelulusan permohonan hak milik tanah yang telah tertunggak sejak sekian lama.

Kediaman Mampu Milik
Membina dan menyediakan rumah kos rendah dan mampu milik melalui inisiatif kerajaan dan swasta untuk pembeli rumah pertama, sasaran 15,000 unit menjelang 2030.

Baik Pulih Kediaman
Sebanyak 1,000 unit rumah golongan asnaf dan kurang berkemampuan setiap tahun.

Keusahawanan
Memperkasa kursus keusahawanan dan kemahiran kepada belia, usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS), kumpulan perkhidmatan penghantaran (E-Hailing) dan penggerak ‘ekonomi gig’ meliputi penambahbaikan skim mikro kredit serta insentif bantuan awal perniagaan.

Pelancongan Dan Warisan
Meneroka, memulihara dan mempromosi produk pelancongan berpotensi dengan penumpuan kepada jejak warisan kegemilangan Kedah serta eko sistem pelancongan.

Kebersihan Dan Alam Sekitar
Memperhebatkan kempen kebersihan dan gaya hidup sihat dengan komitmen pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang lestari demi kesejahteraan masyarakat. – HARAKAHDAILY 3/8/2023

- Advertisement -