Kelantan pertahan keharmonian kaum, agama

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri sentiasa komited untuk memastikan keharmonian kaum dan agama di Kelantan terus dipertahankan.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, sejak 33 tahun PAS menerajui Kelantan, kedua-dua aspek itu sering diberi perhatian kerajaan negeri.

- Advertisement -

Katanya, hak masyarakat bukan Islam tidak pernah dinafikan, malah banyak bantuan disalurkan walaupun mereka merupakan kaum minoriti di Kelantan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada wakil-wakil kaum dan ketua agama yang hadir hari ini.

“Kerajaan sentiasa mendengar dan memberi komitmen bagi memastikan keharmonian kaum dan agama terus subur di Kelantan,” katanya pada pertemuan tersebut di Kota Darulnaim.

Turut hadir anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dan Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman.

Terdahulu, Menteri Besar mengadakan pertemuan bersama lima ketua agama di Kelantan iaitu Buddha, Sikh, Kristian, Hindu dan Tao.

Pada pertemuan itu, pelbagai perkara diajukan kepada kerajaan negeri termasuk isu pemilikan tanah bagi membina rumah ibadat masing-masing.

“Kita akan berusaha untuk menyelesaikan masalah mereka secepat mungkin dengan mengambil kira peraturan tanah di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Alhamdulillah di Kelantan, kita terapkan keharmonian kaum dan kebebasan beragama sejak awal pentadbiran PAS pada 1990,” ujar Ustaz Ahmad. – HARAKAHDAILY 2/8/2023

- Advertisement -