
KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata, isu seorang wanita yang dikaitkan dengan calon PAS di negeri ini sangat tidak madani.
Beliau percaya perkara itu telah dirancang lama dan dimainkan bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap PAS.
“Perkara ini tiba-tiba muncul. Kami mendapat maklumat ‘drama’ ini didalangi oleh pihak tertentu. Pada kebiasaan apabila mereka kehabisan modal, akan timbulkan isu-isu peribadi,” ujarnya kepada media di Pejabat Perhubungan PAS negeri, di sini, hari ini.
Beliau yakin ia akan berakhir begitu sahaja setelah selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Menurutnya, sejarah sebelum ini membuktikan pemimpin PAS diserang isu-isu peribadi semasa PRU4 dan PRU13 tetapi akhirnya tiada tindakan diambil setelah berakhir pilihan raya.
“Kalau ada isu boleh bawa ke pejabat agama untuk tindakan pihak berwajib, jadi ini satu tindakan yang tidak gentleman, sangat tidak bertamadun, madani jauh sekali dalam kempen untuk meraih undi rakyat Terengganu,” ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS negeri.
Tambahnya, kempen murahan seperti itu bermatlamat untuk menjejaskan kredibiliti calon dn mengalihkan sokongan rakyat yang berpihak kepada PAS ketika ini.
“Mainan politik menjelang pilihan raya, kalau ada bukti kukuh boleh terus ke pejabat agama, buat masa ini ia hanya isu politik yang direka,” ujarnya.
Malah, katanya jika isu itu betul kenapa tidak didedahkan sebelum ini dan hanya ditimbulkan selepas penamaan calon.
“Saya rasa rakyat Terengganu cerdik dan setiap kali menjelangnya pilihan raya isu ini ditimbulkan bagi mengaibkan calon-calon. Ini strategi kotor daripada pihak musuh.
“Kita tidak pernah gunakan isu sebegitu untuk lawan calon musuh, kita hanya bagitahu apa yang telah dibuat dan akan dibuat untuk rakyat,” jelasnya.
Beliau menjelaskan, pemilihan calon PAS telah melalui tapisan yang ketat, segala perkara diteliti dengan sangat mendalam sebelum seseorang calon dipilih kepimpinan.
“Oleh kerana pihak tertentu masih memainkan isu ini, beberapa tindakan diambil oleh calon Kemasik melalui peguamnya termasuk dengan menghantar notis injuksi kepada individu dan media yang menyiarkan berita berkenaan.
“PAS berharap agar isu-isu sebegini tidak terus digunakan oleh mana-mana pihak demi meraih undi, berpolitiklah secara matang,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 1/8/2023




















