
SHAH ALAM: PERIKATAN NASIONAL (PN) menampilkan 56 calon yang berkelayakan, berpengalaman dan bersedia memikul amanah bagi memberi khidmat terbaik kepada rakyat Selangor.
Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, calon PN juga tiada kluster mahkamah atau penjara bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Katanya, semua calon PN yang bebas daripada elemen terbabit sekali gus mampu memberi khidmat terbaik untuk rakyat Selangor.
“Calon PN Selangor melalui beberapa proses yang memastikan mereka bukan sahaja berkelayakan, malah boleh diterima rakyat.
“Kami pernah berada dalam kerajaan sebelum ini. Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pernah menjadi Menteri Besar Selangor. Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Datuk Abdul Rashid Asari juga pernah berkhidmat dalam kerajaan negeri.
“Kita serius untuk mengambil alih kerajaan negeri. PAS pernah berada dalam kerajaan Selangor ketika era Pakatan Rakyat,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PN Selangor, hari ini.
Menurutnya, Selangor juga sebuah negeri yang kaya dengan hasil melebihi RM2 bilion setahun.
Oleh itu, katanya rakyat berpeluang untuk membuat perubahan melalui PN untuk melahirkan Selangor Baharu. – HARAKAHDAILY 31/7/2023




















