
KUALA TERENGGANU: Zuraida Md Noor mempunyai potensi besar untuk mempertahankan kerusi DUN Ladang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Ini kerana beliau mempunyai keluarga besar sama ada di sebelah ibu mahupun bapanya, lebih-lebih lagi mendapat sokongan yang uat daripada keluarga sendiri.
Selain itu, anak jati Dun Ladang ini juga mempunyai ramai kenalan terutama dalam kalangan rakan sekolah rendah dan menengah.
Beliau yang merupakan bekas Adun Wanita Terengganu juga turut mendapat tunjuk ajar dan nasihat daripada bekas Adun Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar dalam menghadapi PRN kali ini.
“Saya sebenarnya beruntung Dato’ Tengku Hassan sendiri sangat menyokong saya, memberi tunjuk ajar dan nasihat,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Walaupun beliau adalah calon wanita tunggal di Terengganu namun tidak keseorangan dalam menjalankan kempen sepanjang tempoh tersebut sehingga hari pengundian.
“Saya tidak berseorangan walaupun saya calon wanita, saya ada jentera, ada suami yang cukup memberi dorongan, anak-anak yang menyokong perjuangan saya sebab saya sendiri anak jati Dun Ladang, saya dilahirkan di Pasir Panjang, bersekolah di Pasir Panjang, di Dun Ladang ini dan dibesarkan di sini,
“Bila tempoh berkempen ini saya cukup ramai kawan sekolah, kawan daripada sekolah rendah, sekolah menengah, jiran, sebab keluarga saya juga keluarga besar di Dun Ladang belah ayah dan emak,” ujarnya lagi.
Di samping itu, Zuraida juga mempunyai keluarga dalam kalangan penyokong Umno yang bersedia untuk memberi undi kepadanya pada hari mengundi nanti.
“Jadi mana-mana UDM atau kampung itu memang akan ada waris, dan sokongan anak beranak lagi positif. Walaupun dia orang Umno mereka tetap akan menyokong sebab anak beranak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mempunyai harapan besar untuk mengekalkan kemenangan PAS di Dun Ladang seterusnya menyumbang kepada kemenangan 32-0 di negeri ini.
“Jadi besarlah harapan supaya insya-Allah kita kekalkan di Dun Ladang dengan sifir mudah 32 dan satu parlimen di Kuala Terengganu,” tambahnya.
Pada PRN ini, beliau menghadapi tentangan daripada calon BN, Dato’ Mohd Sabri Alwi. – HARAKAHDAILY 30/7/2023




















