
KUALA TERENGGANU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar melahirkan rasa gembira dengan pemilihan Zuraida Md Noor sebagai calon di DUN itu.
Menurutnya, tidak ada isu sama ada beliau setuju atau tidak kerana ia adalah keputusan bersama.
Malah, beliau senang hati dengan pemilihan bekas Adun Wanita itu mengambil tempatnya bertanding di DUN Ladang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini
“Jadi tidak ada isu sama ada saya bersetuju atau tidak. Sebab ini adalah keputusan bersama.
“Insya-Allah kita hormati keputusan itu dan saya senang hati sebenarnya, seronok menerima keputusan itu, melihat muka baru pula mengambil tempat untuk meneruskan legasi yang kita teruskan insya-Allah,” ujarnya Ketika ditemui selepas Zuraida menyerahkan borang pencalonan di Dewan Banquet Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, hari ini.
Tengku Hassan yang juga Exco kerajaan negeri adalah pencadang kepada Zuraida.
“Kita telah memilih calon yang terbaik yang saya rasa boleh meneruskan apa yang kita buat sebelum ini, insya-Allah.
“Kita mempunyai seorang calon yang sangat berwibawa dan telah ada pengalaman sebagai Yang Berhormat selama lima tahun dalam kerajaan dan ini adalah kelebihan yang ada pada calon kita.
“Jadi saya mengharapkan sangat-sangat supaya semua masyarakat dan pengundi-pengundi di Dun Ladang ini memberi sokongan padu,” ujarnya lagi.
Beliau juga memberitahu sejak awal lagi sudah berazam tidak mahu bertanding di DUN Ladang pada PRN kali ini.
“Secara peribadinya saya memang dari awal lagi sudah berazam untuk tidak lagi bertanding.
“Dari awal lagi mengharapkan supaya calon kita hari ini bertanding dan alhamdulillah Puan Zuraida kini dipilih untuk bertanding menggantikan saya,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2023




















