
KOTA BHARU: Petugas pilihan raya PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) hendaklah menggunakan pendekatan lunak bagi mengajak penyokong Umno dan Pakatan Harapan (PH) mengundi calon PN pada 12 Ogos ini.
Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, ramai ahli dan penyokong Umno kecewa dengan kepimpinan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi yang disifatkan jauh menyimpang daripada perjuangan asal parti itu.
Katanya, penyokong Umno yang kecewa perlu diajak bersama untuk memberi sokongan terhadap calon PN di enam negeri.
“PAS akan terus berkempen secara demikian dengan tidak menyerang peribadi individu termasuk membabitkan ahli keluarga mereka,” katanya kepada penyokong selepas selesai penamaan calon di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu, hari ini.
Mohd Amar yang juga penyandang DUN Panchor bakal berhadapan calon PH, Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, setiap kali berkempen ketika pilihan raya, beliau tidak pernah menyentuh peribadi calon lawan.
“Jangan sentuh hal peribadi pihak lawan kerana kita bercakap atas dasar parti masing-masing dan kita hendak rakyat faham serta pilihan yang dibuat adalah berdasarkan kefahaman mereka.
“Ada sebahagian calon yang bertanding terdiri daripada kawan-kawan, mahu pun keluarga kita sendiri dan bukan orang lain,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/7/2023




















