
SEREMBAN: “Kami mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) tidak akan mengumumkan sama ada mereka mewakili PAS, Bersatu atau Gerakan.
“Pada kami, kami adalah PN,” ujar Pengerusi PN Negeri Sembilan pada sidang media selepas pengumuman calon malam tadi.
Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau mahu semua calon Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 di negeri itu hanya disebut sebagai calon PN.
Beliau turut menegaskan perkara itu ketika majlis Pengisytiharan Calon PN dan Munajat di Dewan Perdana KRS, Bandar Warisan Puteri dekat sini.
Ketika ditanya jika PN berjaya membentuk kerajaan, beliau menjelaskan setakat ini tumpuan hanya diberi bagi menghadapi PRN.
“Apabila kita berjaya ‘past the post’, mempunyai cukup bilangan bagi menubuhkan kerajaan, kami akan mempersembahkan nama-nama kepada Duli Yang Maha Yam Tuan Besar negeri untuk memilih seorang calon dalam kalangan kami,” ujar beliau.
Tambah beliau, PN Negeri Sembilan menyediakan pasukan untuk mentadbir kerajaan.
Pada majlis tersebut, seramai 34 calon diumumkan, bagaimanapun nama calon bagi Dun Jeram Padang dan Seri Tanjung akan diumumkan kemudian.
Selain pengumuman calon, majlis turut diisi dengan program munajat.
Turut hadir Timbalan Pengerusi PN negeri Rafiei Mustapha yang dinamakan sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN)Pilah dan Lee Ban Fatt, calon di DUN Seremban Jaya.
Hadir sama mantan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim; Penolong Setiausaha Agung PAS Khairul Faizi Ahmad Kamil; Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin. – HARAKAHDAILY 28/7/2023




















