PN Kelantan ketengah ramai golongan teknokrat

Nasriff Daud Yatimee
- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) Kelantan mengetengahkan 10 golongan teknokrat, profesional (8), ulama (10), aktivis (10), anak muda (5) dan wanita (2) bagi misi mempertahankan kerajaan kepimpinan ulama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Calon terbabit termasuk 23 muka baharu yang ditampilkan mewakili PAS dan Bersatu yang bergabung di bawah PN.

- Advertisement -

Antara calon terbabit iaitu seorang jurutera, Nasriff Daud Yatimee, 57, yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir dan Nor Asilah Mohammad Zin, 50 di DUN Limbungan.

Nasriff mewarisi legasi ayahnya, Daud Yatimee Ahmad, mantan Speaker DUN Kelantan antara 1978 hingga 1982.

Sementara itu, Nor Asilah meneruskan bakat kepimpinan ibunya, Kalthom Othman yang dilantik ahli Dewan Negara antara 1991 hingga 1997.

Arwah ibunya juga bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (2003-2005) dan Kelantan serta pernah bertanding di kerusi Parlimen Pasir Puteh.

Bakat kepimpinan Nasriff dilatih sejurus beliau menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Industri dan Sistem di Universiti Ohio, Amerika Syarikat pada 1988.

Setahun kemudian beliau dilantik sebagai Jurutera Industri Telekom Malaysia Berhad.

Tanggungjawab terakhirnya sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perancang dan Pembangunan di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), selama lima tahun.

Nor Asilah Mohammad Zin

Nor Asilah pula merupakan Ketua Muslimat PAS Pasir Puteh, diasuh memesrai syariat Islam sejak kecil hingga berjaya mendapat ijazah Syariah di Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 2004.

Ibu kepada empat anak itu melengkapkan Diploma Pendidikan di Universiti Utara Malaysia (UUM). Sebelum ini bertugas sebagai pendidik bermula tahun 2006.

Kompetensi kepimpinan melayakkan beliau dilantik Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Ahmadiah, Banggol Judah Machang. – HARAKAHDAILY 28/7/2023

- Advertisement -