
MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru jentera parti dan PERIKATAN NASIONAL supaya melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Beliau secara khusus menyatakan perkara itu kepada para petugas di Terengganu bagi memastikan dapat kemenangan 32-0.
“Kita minta supaya (jentera) tiap-tiap DUN kerja dengan sungguh-sungguh. Pastikan di Terengganu ini kita dapat 32-0.
“Pastikan kita kerja kuat untuk menangkan calon yang bertanding. Insya_Allah, dengan izin Allah kita boleh menang,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pengisytiharan Calon PN/PAS PRU DUN Ke-15 Terengganu di Dewan Tok Guru, Rusila, malam tadi.
Turut berucap ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan Pesuruhjaya PAS negeri, Senator Dato’ Husain Awang. Hadir sama ialah Ketua Penerangan PAS PUsat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin.
Tuan Guru juga menjelaskan mengenai ikrar dan bai’ah yang dilakukan setiap calon yang bertanding.
Katanya, ikrar dan bai’ah kepada orang Islam merupakan satu ikatan yang kuat di hadapan Allah.
“Ikrar dan bai’ah ini bagi prang Islam satu ikatan yang kuat di hadapan Allah SWT, bukan sahaja percaya kepada dunia tetapi percaya bahawa perkara politik ada kaitan dengan agama akan disoal pada hari akhirat,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 28/7/2023




















