Gula-gula PRN dalam Ekonomi Madani

- Advertisement -

DARI kaca mata saya: 

Cuba tengok RM100 diberikan kepada rakyat berpendapatan RM100,000 dan ke bawah.

Cuba tengok pula projek tebatan banjir di Kelantan, Pahang, Selangor dan Johor yang perlu disegerakan.

Cuba tengok lagi peruntukan RM800 juta untuk tambah baik bekalan air bersih di Kelantan dan Sabah.

Cuba tengok lagi dan lagi bantuan khas penjawat awam menerima RM300 dan pesara kerajaan dapat RM200. Pembayaran ini dibuat dalam tempoh dua minggu sebelum hari hendak mengundi?

Apapun TokLi berterima kasih kepada Kerajaan Perpaduan yang madani ini. Sudah tentu rakyat tidak menolak dengan keprihatinan Kerajaan Pusat tetapi cara aturan nampak tak strategi gula-gula PRN ini. Taktik lama, dah basi.

Rakyat nampak tetapi senyum kerana orang memberi, kita menerima. Harap tidak ada elemen-elemen rasuahlah.

Yang menjadi persoalan besar TokLi ialah apakah ekonomi madani ini satu naratif atau hala tuju baharu pembangunan ekonomi negara atau adakah ia kesinambungan kepada Belanjawan 2023 atau sememangnya sebahagian dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)?

Kekadang jangan membohong rakyat kerana rakyat memerhati dengan kebijaksanaannya.

TokLi juga seorang penggubal undang-undang yang berada di institusi tertinggi Parlimen iaitu Dewan Negara.

TokLi telah membahaskan pembentangan RMK-12 yang lalu dan akan ada laporan prestasi Kajian Separuh Penggal RMK-12 pada September depan. TokLi juga membahaskan panjang lebar Belanjawan 2023 di Dewan Negara.

Setiap yang dibahaskan ini adalah hampir sama di dalam ekonomi madani. Jadi apa sebenarnya yang baharu dalam ekonomi madani ini?

Yang dilihat sangat ketara adalah tambah nilai atau menambah peruntukan sana sini daripada blue-print yang sedia ada.

Rakyat tidak akan terpedaya dengan bahasa-bahasa indah lagi pujangga yang boleh membikin rakyat jatuh hati.

Puitis dan romantis dalam berbahasa ekonomi yang membayangkan ekonomi madani cuba diangkat sebagai kerangka induk kepada beberapa lagi dasar sedia ada seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal RMK-12 hanya sekadar kosmetik dan mengaburi mata rakyat jelata sahaja.

Kenapalah kerajaan madani ini masih beretorika dalam 8 bulan mereka memerintah?

DATUK RAZALI IDRIS
Ketua Penerangan BERSATU
28 Julai 2023 – HARAKAHDAILY 28/7/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -