Polis gerak ‘Team Cantas’ kesan khianat poster parti

Dato’ Muhamad Zaki Harun
- Advertisement -

KOTA BHARU: Polis Kelantan memandang serius berhubung kejadian khianat terhadap kain rentang dan bendera parti sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

- Advertisement -

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menggerakkan ‘Team Cantas’ dan pasukan lain di bawah Ketua Polis Daerah bagi mengesan mana-mana pihak yang dipercayai terbabit perbuatan khianat.

Katanya setakat ini polis menerima dua laporan polis berhubung kejadian itu yang dilapor berlaku di Tumpat dan Kuala Krai.

“Perbuatan khianat dilakukan dengan cara mencabut dan menjatuhkan bendera parti serta merosakkan kain rentang.

“Polis turut mengesan empat lagi kejadian yang serupa berlaku di sekitar Kota Bharu,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Oleh itu beliau mengingatkan ketua-ketua parti, pengerusi NGO atau mana-mana pertubuhan supaya sentiasa menjaga dan mengawasi ahli serta pengikut supaya tidak merosakkan keharmonian.

Beliau juga berkata, proses kempen hendaklah dilakukan secara sihat, harmoni dan mematuhi peraturan, undang-undang serta garis panduan yang ditetapkan.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba melakukan provokasi atau menimbulkan sebarang isu berkaitan dengan institusi Diraja, agama dan perkauman (3R),” katanya.

Orang ramai juga diingatkan tidak memuat naik sebarang ‘posting’ di media sosial atau menyebarkan berita yang boleh mendatangkan pecah keamanan dan kegusaran dalam masyarakat terutama menyentuh isu 3R. – HARAKAHDAILY 20/7/2023

- Advertisement -