PN Kelantan umum calon PRN 27 Julai

- Advertisement -

KOTA BHARU: PERIKATAN NASIONAL (PN) Kelantan akan mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 27 Julai ini.

- Advertisement -

Setiausaha Perhubungan PN Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, bagaimanapun lokasi pengumuman berkenaan setakat ini belum ditetapkan lagi.

Menurutnya, semua senarai calon PAS sudah dimuktamadkan dan selesai melalui tapisan untuk bertanding di 39 kerusi Dun mewakili parti itu pada PRN kali ini.

Beliau juga berkata, pembahagian kerusi melibatkan 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di mana enam daripadanya akan diwakili Bersatu.

“Calon-calon Bersatu akan bertanding di Dun Kok Lanas (Ketereh), Gual Ipoh (Tanah Merah), Paloh dan Nenggiri (Gua Musang) dan Air Lanas (Jeli),” katanya pada sidang media di Bilik Media Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan hari ini.

Bagaimanapun kata beliau satu lagi Dun diwakili belum ditentukan sama ada Kuala Balah atau Bukit Bunga di Parlimen Jeli.

Tambah beliau, kesemua calon yang bertanding akan menggunakan logo bulan yang bertemakan Kelantan Maju Rakyat Sejahtera.

“Kita tidak meletakkan sebarang kuota usia maksudnya pemuda berapa peratus, tetapi hampir 50 peratus ialah muka baharu selain mengekalkan jumlah calon wanita sebelum ini dua orang,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan Program PAS Kelantan akan dilancarkan pada 31 Julai ini yang menawarkan pelbagai program baharu untuk kepentingan rakyat.

Katanya, ia bersesuaian dengan kerajaan PAS Kelantan mentadbir negeri itu selama 33 tahun yang pastinya banyak program menarik dapat ditawarkan kepada rakyat.

Dalam pada itu, Wan Roslan memberitahu, beberapa tokoh politik negara akan memeriahkan himpunan mega Program Munajat Rakyat Kelantan yang akan diadakan 21 Julai ini bertempat di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V.

Katanya, dianggar 80,000 rakyat Kelantan hadir pada program yang akan diadakan dalam Stadium Sultan Muhammad IV.

Antara tokoh berkenaan iaitu bekas-bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Kedah Dato Seri Sanusi Md Nor, Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Arau, Dato Seri Shahidan Kassim.

“Sempena majlis ini juga akan diadakan solat hajat perdana dan munajat bagi memohon kesejahteraan negeri untuk menghadapi PRN.

“Pada masa yang sama, program berqasidah bersama kesemua pimpinan negeri dan pusat buat julungkalinya akan diadakan,” katanya.

Beliau juga berkata, himpunan terbabit terbuka kepada seluruh rakyat Kelantan tanpa mengira fahaman politik, agama dan keturunan.

Turut hadir pada sidang itu Penolong-penolong Setiausaha Badan Perhubungan PN Negeri Ahmad Nas Ruddin Abdullah, Gan Thuan Bun dan Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Asri Mat Daud. – HARAKAHDAILY 16/7/2023

- Advertisement -