PMX hilang faktor `wow’ hadapi PRN

- Advertisement -

KAJANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim, kehilangan faktor `wow” seperti yang dimiliki Perdana Menteri sebelum ini apabila mengambil alih tampuk kerajaan.

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, berkata walaupun Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PN-BN) yang kini menguasai Putrajaya, mempunyai 3M (Jentera, Wang dan Media), faktor `wow’ tidak berpihak kepada kerajaan yang dipimpin oleh Anwar.

- Advertisement -

Menurutnya, ini suatu kelebihan yang Allah SWT berikan kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Katanya, kebiasaan yang berlaku apabila sebuah kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri (PM) baharu, di sana ada faktor `wow’.

“Ketika Tun Dr Mahathir (Mohamad) mengambil alih kuasa dari Tun Hussein Onn pada 1981, keputusan PIlihan Raya Umum (PRU) pada 1982, keputusan begitu cemerlang berada pada pihak BN.

“Kemudian setelah diambil alih oleh (Tun) Abdullah Ahmad Badawi, PRU 2004 juga ada faktor `wow’. Apabila PM baharu datang, orang hendak cita rasa baharu. Kemudian (Datuk Seri) Najib Tun Razak pun sama, dia juga mendapat keputusan yang agak baik,” katanya ketika merasmikan Himpunan Jentera PN Hulu Langat di sini, malam tadi.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari.

Petugas jentera pilihan raya PN yang menghadiri Himpunan Jentera PN Hulu Langat.

Namun, Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata, PMX (Perdana Menteri ke-10) sejak awal-awal lagi tidak kelihatan faktor `wow’ pada dirinya.

Sehubungan itu, katanya dalam keadaan hari ini ketika kecenderungan rakyat bersama PN, sama ada dari segi media sosial atau di lapangan, momentum ini perlu dikekalkan.

“Kita tak mahu semangat seperti sejenis air minuman (jenama popular) yang apabila dituang dalam kedai mamak, buih tinggi bukan main, tunggu selepas minit, habis buihnya. Kita hendak pastikkan momentum ini kekal dan diterjemahkan pada 12 Ogos nanti (hari pengundian)…itu yang kita hendak.

“Tidak ada maknanya kalau rakyat hari ini marah, tak puas hati dan sebagainya, tetapi tidak diterjemahkan dalam bentuk undi,” katanya.

Sehubungan itu, katanya jentera pilihan raya PN di setiap Parlimen Selangor perlu memastkan masing-masing menyumbang jumlah kerusi yang diperlukan untuk menawan Selangor. – HARAKAHDAILY 13/7/2023

- Advertisement -