Aura Sanusi di Kedah begitu kuat

Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin
- Advertisement -

KANGAR: Aura Menteri Besar (MB) Kedah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilihat mampu menarik sokongan rakyat kerana beliau boleh melakukan pelbagai kerja.

- Advertisement -

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, Sanusi seorang MB yang mengutamakan kepentingan rakyat melebihi kepentingan peribadi dan mudah mesra dengan semua golongan.

“Allah menghantar ke Kedah seorang MB yang berpengalaman dalam pelbagai bidang, walaupun beliau bukan berlatar belakang agama tetapi mampu membaca khutbah pada hari Jumaat,” katanya di sini.

Baru-baru ini Pesuruhjaya PAS Kedah Dato’ Ahmad Yahaya menyifatkan Sanusi sebagai ‘wow factor’ yang mampu menarik sokongan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Tuan Guru Hashim juga berkata, walaupun jawatan MB dan Pesuruhjaya PAS di Kedah dipegang individu berbeza, namun mereka mampu bergerak sealiran.

Sedangkan katanya menjadi kebiasaan di negeri-negeri yang diterajui PAS Pesuruhjaya akan dipilih sebagai MB.

“Sanusi seorang yang boleh bekerja 24 jam. Auranya di Kedah khasnya sangat kuat walaupun bahasa yang digunakan agak kasar bagi sesetengah orang.

“Rakyat boleh terima dia. insyaAllah saya berkeyakinan tidak mudah bagi parti lain untuk menjatuhkan PERIKATAN NASIONAL (PN) di kedah,” katanya.

Beliau juga berkata, sokongan rakyat kepada PN dilihat semakin melonjak menjelang PRN pada 12 Ogos tidak lama lagi.

Menurutnya kemeriahan suasana PRN semakin terasa terutama di negeri Pantai Timur termasuk di Terengganu.

“Jumaat lepas ketika ke Terengganu saya lihat bendera-bendera PAS sudah dipasang dengan meriah seolah-olah pilihan raya akan berlaku esok.

“Ceramah-ceramah juga mendapat sambutan luar biasa menunjukkan sokongan rakyat kepada PN semakin hari semakin bertamah,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/7/2023

- Advertisement -