
ADALAH satu kerugian besar jika penulis mengabaikan pesona, memeram cerita dan pengalaman berharga yang dikongsi lewat pertemuan yang ditakdirkan Allah bersama sosok sederhana tetapi cukup istimewa ini.
Kehadiran murobbi ini di balik celahan kampung pendalaman Tok Randok, merupakan salah satu faktor menjemput barakah yang telah memberi impak besar kepada kemenangan DUN Ajil.
“Dijemput Ketua Dewan Ulamak PAS (DUPN) Terengganu, Ustaz Ismail Othman yang juga merupakan penasihat PAS DUN Ajil untuk menyampaikan ucapan,” ucap pengerusi majlis.
Jika ditakdirkan berselisih, pasti semua termasuk penulis akan beranggapan lelaki berkopiah putih berusia lebih setengah abad berbaju batik biru laut itu adalah seorang guru pencen atau amilin biasa-biasa.
Hakikatnya, pakaian atau penampilan luaran hanyalah ‘make up’, adapun ‘pakaian’ sebenar sama ada seseorang itu guru pencen atau ‘Ketua Pegawai Eksekutif ‘(CEO) Dewan Ulamak PAS Negeri, ketua kepada ketua-ketua, adalah perilaku atau tabiat sebenar yang ada di dalam diri, itulah akhlak.
Mulianya agama bukan semata luaran yang dipandang dan diukur, pada serban yang dililit, pada jubah polos bergedobos. Mulia tidak disandar pada sesuatu, pada apa yang dipakai. Mulia lebih terletak pada ketulusan akhlak dan budi pekerti, pada bait-bait kata sederhana dilantun santun berhikmah, diucap tenang menunduk ke bumi.
Hadirin khusyuk memberi tumpuan. Penulis, macam ada rasa ‘sesuatu’ lain sedang bermain dan berputar di relung ingatan. Ahh, apa dia…
Lemas dan tenggelam dirundung kebingungan mencari ‘connecting’ yang boleh dijadikan petunjuk memandu GPS otak merungkai persoalan ‘sesuatu’ itu.
“Satu ketika dulu apabila PKS (Partai Keadilan Sejahtera) menang di Indonesia, Almarhum Ustaz Harun (Dato’ Tuan Guru Hj Harun Taib) kata, insya-Allah jika kita pakai ilmu itu, insya-Allah, hidupkan usrah, kita akan dapat mencari ahli, “ujarnya.
Allahuakbar, tempurung kepala bagai terhantuk di dinding, bedebum! Ya Allah, Ustaz Harun Taib. Litar urat saraf yang dari tadi bergumpal, kini terlerai, membuka kembali memori buku biru turqoise saiz A5 sederhana tebal yang dibeli dan dihadiahkan kepada suami tercinta enam tahun lalu.
‘Tribut Untuk Dwi Murobbi, Dato Ustaz Haji Harun Taib Dan Dato’ Ustaz Haji Abu Bakar Chik’ – Dr. Riduan Mohamad Nor.
Inilah ‘sesuatu’ itu. Patutlah sayu dan melankolik sungguh perasaan penulis tatkala menatap wajah anak murid kesayangan Almarhum Tuan Guru Haji Harun Taib itu.
(Tertulis di muka surat pertama, helaian putih kosong, ‘Bingkisan istimewa untuk suamiku, pejuang tanpa nama. Moga baktimu tersebar harum ke langit ilahi. Amin – ‘Himpunan Mujahidah Muslimat Muda HMM5K, 21 Januari, Sabtu, 2017 – Dataran Kemerdekaan, Shah Alam).
Penulis menatap sayu seraut wajah redup Ustaz Ismail. Sungguh, beliau ‘berahi’ membicarakan tajuk usrah.
“Usrah itu ibarat kita menjala, tapi kita tak pakai itu sebab tak istiqamah, usrah ini kena istiqamah, tak boleh kita buat ‘suk sak’ gitu.
“Almarhum Tuan Guru Harun Taib memang istiqamah. Tak kan tukar dengan ceramah, mesyuarat apa pun kecuali hak di atas, hak dia ke bawah dia takkan tukar kecuali datang arahan dari pusat atau dari istana misalnya,” ujar ustaz Ismail, berkongsi pengalaman berharga bersama gurunya di hadapan kami.
Beliau berkata, memang takut dan ‘sakit’ mendengar bahasa yang diguna Almarhum, terutama memperkatakan salah satu daripada tiga tanda orang munafik, apabila berjanji dia memungkiri.
“Apabila berjanji, Selasa malam Rabu, tak kiamat lagi, maka hari Selasa malam Rabu usrah. Jangan dok fikir nak hidup kuliyyah ke apa, semua tinggal dulu, tepati janji. Sekali janji tapi kena bawa sampai ke mati,” ujarnya jelas dalam nada sederhana, hadirin terpaku.
Beliau turut menitip nasihat berguna kepada naqib usrah bahawa usrah tak perlu tunggu ramai, usrah perlu terus berjalan biarpun kehadiran ahli mungkin hanya tiga empat orang.
“Buat kerja tak sampai target itu biasa, nakkan gitu dapat gini. Kalau sampai target susah jugok, rasa sedap… oo… sedap… abihlah. bila sampai hok kita rasa hebat, abihlah, rasa tak yah wat keje, bila sampai ke atas, kita terasa begitu, habis!
“Sebab itu masa perang dulu kita rasa ‘goh’ kita menang, habis. Kena ada rasa tak cukup lagi, insya-Allah. Bila insya-Allah tu debor je, sebab itu Allah S.W.T beri orang Islam ni kalau perang pun, majoritinya sikit tapi menang.
“Apabila ramai (memberi contoh Perang Hunain) rasa ‘goh’, (hebat) tapi akhirnya jatuh!”
(Menurut catatan sejarah Perang Hunain, 10,000 tentera Islam memerangi dua puak kecil penentang Islam. Malangnya, kerana bongkak dan takbur dengan jumlah yang ramai, mereka tumbang di pertengahan. Ramai tentera Islam lari meninggalkan medan pertempuran tetapi dengan pertolongan Allah S.W.T, tentera Islam bangkit dan mencapai kemenangan di akhir dengan jumlah tentera yang sedikit).
Bagi penulis, tidak ada satu pun butir bicara tuan guru permata Pantai Timur ini bersifat meninggi mahupun sembang kosong. Kata-kata yang diucap dari tutur bicara beliau ibarat mutiara keluar sebutir demi sebutir, yang di bawah berebut-rebut mengutipnya.
Penulis cuba semampu daya menulis satu demi satu rangkap percakapan beliau biar ada ketika rasa sukar juga memahamkan lenggok dan ‘loghat’ yang dilontar kerana mendengar rakaman suara melalui telefon bimbit tidak seterang dengar depan-depan.
Inilah jihad dan mujahadah seorang penulis parti. Mengenang tangan ini diikat dengan amanah, seorang penulis akan berusaha sedaya upaya mendekam telinganya di skrin telefon, mendengar dengan sabar berulang-ulang, apa yang didengar dicatat dan ditulis, sedaya upaya tidak mahu tertinggal satu pun huruf, tersalah meletak baris atas, bawah dan hadapan, takut salah bunyinya, maka larilah maknanya.
Pun begitu, kerana sifatnya manusia tidak sempurna, sekalipun sudah ‘dibilas dan dibasuh’ tulisan ini berulang kali, akan tetap ada juga kekotoran dan noda yang terlepas pandang. Semoga Allah ampunkan penulis.
Semoga nukilan ini mampu menambah kecintaaan para jundullah sekalian kepada perjuangan, khususnya pada nadi dakwah iaitu usrah serta menambah kecintaan penulis, mencatat dan menulis segala kebaikan dan kebaikan itu dipulangkan kembali manfaatnya kepada jamaah.
Memandangmu Murobbi, mengingatkanku pada bait-bait tulisan Dr. Riduan Mohamad Nor di dalam ‘halaman tribut 1, Ustaz Harun Taib’…
“Mengapa Tuan Guru Haji Abdul Hadi apabila menyebut nama Almarhum Ustaz Harun Taib, akan sebak dan mengalirkan air mata,” tanya seorang anak buahku jujur.
Tuan Guru Abdul Hadi banyak kali kelihatan terganggu perasaan dan sedikit sentimental apabila menyebut nama teman baiknya itu. Hubungan persaudaraan akidah yang melebihi persaudaraan darah daging, sangat sukar untuk ditafsirkan dengan mata kasar apa yang terselit pada relung hati murabbi kesayangan umat itu.
“Mereka ada hubungan yang istimewa semenjak zaman remaja, sepanjang hayat mereka adalah teman yang rapat, saling melengkapi antara satu sama lain,”.
Mungkin Ustaz Ismail juga begitu.
Ketika langkah kaki disusun perlahan meninggalkan mahligai kayu dua tingkat yang dibina di atas tanah cinta milik Ustaz Ismail yang kini dijadikan Markaz Tarbiyyah Islamiyyah, Kampung Tok Randok, Ajil, penulis mencuri peluang mengucap salam terakhir…
“Ustaz, saya rasa sungguh bertuah hari ini direzekikan Allah bertemu anak murid yang juga adik ipar Almarhum Tuan Guru Ustaz Harun Taib, masyaAllah tabarakallah...,”
Kata-kata terhenti di situ.
Mulutnya terkumat-kamit, kelihatan sukar membalas. Hanya mampu menggumam senyum, anak matanya bersinar dan berkaca. Segala peristiwa zaman yang telah dilarikan zaman, terasalah sedih, rindu dan pilu.
Hanya beliaulah saja yang mengetahui.
Sudah berminggu belum mampu kusiapkan penulisan ini. Hari ini kugagahi dan kusudahi hingga ke noktah terakhir.
Kolam mata terus mengapung air…
Semoga penulis mampu ke tanah ulu ini lagi, mencari dan mencoret sisi-sisi kenangan berbaki, sejarah perjuangan seorang pejuang yang sentiasa ‘hidup’ malar segar menghiasi relung ingatan sanubari.
Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan buat yang kami hormati dan kasihi, ADUN Ajil, YB Ustaz Maliaman Kassim, Tuan Guru Ustaz Ismail Osman, Ketua Dewan Ulama PAS Negeri (DUPN) Terengganu dan isteri, Kak Yam (adinda Almarhum Murobbi Ummah, Ustaz Harun Taib) selaku tuan rumah.
Seterusnya, kepada anakanda Ustaz Ismail, Ustaz Ahmad Furqan Ismail, merangkap setiausaha MTD Dun Ajil, Ketua Penerangan DUN Ajil, Ustaz Zulkurnain Alias, Ketua Halwa Dun Ajil, Kak Zan (Noorizan Abdul Rahman), Ketua Penerangan Halwa Ajil, Kak Zah, Timbalan Ketua Ameerah Ajil, Siti Nor Rulsafah Junus, Cikgu Feah (bukan Rafeah Buang kata beliau) serta jurugambar, tuan Zamarul Hisyam.
Maafkan penulis andai ada nama yang tidak disebut dan ditulis. Semoga segala pengorbanan dan budi baik sahabat kepimpinan Kampung Tok Randok, Ajil sekalian dicatat dan ditulis kebaikannya di sisi Allah S.W.T.
Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Semoga Ajil terus gah,
Teguh Pertahan sampai hujung nyawa.
KHAULAH AL AZWAR – HARAKAHDAILY 11/7/2023




















