Banglo itu bukan milik saya, fitnah menjelang PRN

- Advertisement -

FOTO sebuah banglo di Sik lengkap dengan imej Google Map yang cuba digambarkan ada kaitan dengan saya hingga timbul tanggapan kononnya banglo itu milik saya, sedang ditularkan oleh para pemfitnah dan pendengki di serata media sosial.

Ia tidak benar dan semata-mata fitnah. Pemfitnah-pemfitnah ini bekerja keras menjelang PRN untuk mempengaruhi orang ramai percaya saya kini hidup kaya raya hingga mampu membina rumah seperti itu.

Rumah itu bukan milik saya. Tidak ada wang saya diguna untuk bina rumah itu walau satu sen. Ia milik orang lain yang dibina hasil titik peluhnya sendiri setelah bekerja keras selama puluhan tahun.

Selama ini, dia kumpul wang bekerja sebagai penyelam di dasar laut, terpaksa tinggalkan isteri dan anak-anak hingga tiga atau empat bulan sekali baru boleh balik ke rumah.

Bukan sekali dua tetapi banyak kali ketika isterinya bertarung nyawa melahirkan anak, si suami pula sedang bertarung dengan yu dan jerung di dasar laut. Mereka suami isteri, termasuk anak-anak telah banyak berkorban selama ini.

Amat menyedihkan tatkala sampai masa untuk mereka mengecap sedikit kegembiraan dapat masuk rumah yang baru siap, ada pula orang yang dengki dan sakit hati hingga tergamak menjaja fitnah konon rumah itu bukan milik mereka.

Apa salah mereka kepada kalian? Kumpul duit setelah berpuluh tahun kerja mempertaruhkan nyawa dalam keadaan begitu bahaya untuk memberikan sedikit kegembiraan kepada ahli keluarga, adakah salah?

Pemilik rumah itu bukan orang politik. Dia tidak ada kena mengena dengan politik atau pilihan raya. Mengapa jadikan dia mangsa seolah-olah rumah itu dibina dengan duit haram sedangkan dia telah lama bekerja keras mencari rezeki hasil titik peluhnya sendiri.

Apa salah dia kepada kalian hingga tidak berkira kira langsung menyebar fitnah sedangkan kalian tidak kenal pun siapa pemilik rumah itu?

Adakah salah juga dia ada pertalian darah dengan saya, dilahirkan sebagai abang saya? Adakah kerana dia abang saya, dia tidak boleh bina rumah besar walaupun dia ada duit dan mampu untuk bina rumah seperti itu?

Mudah sungguh kalian buat dosa-dosa berat pula – sedangkan antara kalian ada yang tidak pernah lalu malah tidak tahu pun rumah itu di mana.

Orang Sik rata ratanya tahu rumah itu rumah Budin, bukan Sanusi. Sebagai adik, saya tahu abang saya sudah lama bekerja keras untuk membahagiakan keluarganya.

Dia seorang yang berhati cekal, kuat kerja, berdisiplin dan mempunyai kesanggupan yang sangat tinggi untuk meningkatkan taraf hidup. Dia juga bijak menguruskan wang dan membeli harta. Saya sendiri kagum dengan pengorbanan dan kesanggupannya.

Abang saya menguruskan hidup dengan disiplin dan kualiti yang tinggi, jauh meninggalkan macai-macai politik yang hati mereka sentiasa diselubungi dendam, marah dan benci. Mereka dengan mudah menyebar fitnah untuk mendapat sedikit habuan atau memuaskan dendam kesumat yang lama terpendam. Mereka seperti lalat penghurung tahi yang kotor lagi jijik.

Bersiap sedialah kalian semua untuk menjawab di dunia dan akhirat atas dosa yang telah disebarkan.

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Menteri Besar
Kedah Darul Aman – HARAKAHDAILY 11/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -