
KOTA BHARU: Bilik Gerakan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kelantan di Jalan Kebun Sultan dekat sini diaktifkan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumum tarikh penamaan calon dan hari mengundi.
Pengerusi DHPP Kelantan, Lim Guan Seng berkata, pelbagai aktiviti dijalankan dengan berpusat di Bilik Gerakan DHPP bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Katanya bilik gerakan berkenaan mengurus segala persiapan PRN di samping menyiapkan bendera parti dan keperluan lain ahli-ahli DHPP.
“Ada juga yang datang untuk mendapatkan maklumat, semak daftar pemilih dan lain-lain. Bilik gerakan beroperasi jam 10 pagi hingga 4 petang setiap hari.
“Orang ramai terutamanya masyarakat Cina, India dan Siam boleh datang menyemak daftar pemilih dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di bilik gerakan tersebut.
Seng juga berkata, pada Khamis lebih 100 penduduk tempatan berkunjung ke Bilik Gerakan DHPP.
Malah kata beliau ada sampai 180 penduduk datang yang terdiri daripada pelbagai bangsa termasuk Melayu, Cina, India dan Siam. – HARAKAHDAILY 10/7/2023




















