Tonjol kecemerlangan Kedah, tangkis info palsu

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kecemerlangan dan pencapaian kerajaan negeri Kedah antara isu yang perlu didedahkan kepada pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos akan datang.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Kedah, Ustaz Mohd Azam Abdul Samad, perkara ini penting ekoran sejak kebelakangan ini terdapat info-info palsu berlegar dan tular berleluasa di media sosial.

“Kejayaan kerajaan negeri Kedah di bawah PERIKATAN NASIONAL (PN) selama tiga tahun ini perlu diketahui rakyat negeri ini.

“Secara tidak langsung boleh menangkis info-info palsu serta fitnah yang dibuat oleh musuh politik PN,” kata beliau ketika ditemui pada program Taklimat Penceramah PN di Kompleks PAS Kedah, malam tadi.

Penceramah ujarnya perlu didedahkan dengan info yang tepat agar pengundi mendapat maklumat sahih serta benar.

Pada majlis itu, dua kertas kerja dibentang dan dikupas oleh dua ahli panel iaitu Pengarah Urusetia Penerangan Darul Aman (UPDA), Zulkifli Yahaya dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat, Zukri Ahmad.

Tambah Azam, melalui program ini penceramah juga diberi garis panduan isu-isu yang perlu diketengahkan mengikut parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

“Selain berinformasi, mereka (penceramah) juga perlu peka kepada isu-isu yang sesuai untuk diketengahkan mengikut kawasan masing-masing,” tambahnya.

Sementara penceramah juga katanya perlu mengikut naratif yang ditentukan agar maklumat yang disampaikan selaras sepanjang tempoh PRN kali ini.

Majlis berkenaan disempurnakan penutupannya oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi. – HARAKAHDAILY 9/7/2023

- Advertisement -