
BACHOK: Sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam, anak-anak perantau berebut-rebut menempah tiket secara dalam talian untuk balik mengundi.
Ahli Parlimen Bachok Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, berdasar maklumat tiket bas untuk pulang ke Kelantan yang dijual secara ‘online’ habis dibeli anak-anak perantau.
Katanya, situasi ini memberi isyarat gelombang anak-anak perantauan untuk pulang mengundi cukup tinggi.
“Tiket bas habis terjual sebaik sahaja SPR membuat pengumuman tarikh PRN yang akan diadakan pada 12 Ogos ini,” katanya ketika ditemui pada program ceramah Ppakat Pertahan Kelantan di pekarangan Kompleks Pendidikan Islam, Kampung Badak malam tadi.
Hadir sama bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa, Yang Dipertua (YDP) PAS Bachok Dato’ Hassan Mohamood, Timbalan YDP Abdul Azziz Kadir, bekas Adun Pantai Irama Huzaimy Che Hussin, bekas ahli parlimen Bachok Muhammad Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Pengerusi Bersatu Bachok Dato’ Nasir.
Mohd Syahir berkata, situasi itu membuatkan PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) begitu teruja semangat yang ditunjukkan anak-anak muda di perantauan.
Beliau juga berharap Kementerian Pengangkutan dapat mempertimbangkan harga tiket penerbangan harga yang berpatutan bagi meringankan beban anak perantau yang mahu pulang mengundi.
“Diharap menjelang PRN 12 Ogos ini jualan tiket kapal terbang tidak dikenakan harga yang tinggi.
“Kita juga berharap syarikat penerbangan termasuk Air Asia dapat mengawal harga tiket kerana kebiasaannya harganya agak mahal menjelang musim pilihan raya,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/7/2023




















