
KOTA BHARU: Legasi perjuangan Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat bukan sekadar anaknya dicalon bertanding pada pilihan raya, sebaliknya menerus perjuangan mempertahankan Islam lebih penting.
Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, legasi Tok Guru mempertahankan pejuangan Islam dan kerajaan negeri di bawah kepimpinan ulama.
“Itu legasinya dan bukan sekadar calon pilihan raya. Itu bukan legasi.
“Apa sahaja mengenai dakwaan saya tetap istiqamah dan terus bersama PAS tidak kira apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita selepas ceramah Ppakat Pertahan di pekarangan Kompleks Pendidikan Islam Bachok dekat sini, malam tadi.
Menurutnya sama ada beliau dicalon atau tidak pada PRN diserah kepada pucuk pimpinan PAS.
“Saya sudah sebut, soal calon itu urusan pimpinan dan terserah kepada pimpinan untuk membuat keputusan. Saya ahli PAS dan saya patuh kepada parti,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 6/7/2023




















