PN bekerja ke arah tadbir 6 negeri selepas PRN

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menasihatkan semua pihak tidak menggunakan pendekatan fitnah ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

- Advertisement -

Katanya, setiap tindakan yang dilakukan manusia akan dinilai Allah SWT dan mendapat balasan di akhirat nanti.

“Kalau kempen perkara tak betul, fitnah, takut nanti lepas pilihan raya pakat masuk neraka. Cakap benda tak betul, kalau Allah tak ampunkan nanti boleh masuk neraka,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di Wisma Darul Aman, hari ini.

Kata beliau juga tempoh 14 hari bermula hari penamaan calon hingga hari pengundian sudah memadai untuk berkempen.

“Nak kempen apa sangat. Sekarang pun sudah mula berkempen. Rakyat sedia maklum untuk memilih mana-mana parti menerajui negeri,” ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dengan tarikh pengundian pada 12 Ogos yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) hari ini.

Katanya tarikh berkenaan sangat sesuai memandangkan jemaah haji sudah pulang ke tanah air ketika itu.

Terdahulu SPR mengumumkan tarikh pilihanraya enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang berlangsung serentak pada 12 Ogos ini.

Manakala 29 Julai ditetapkan sebagai Hari Penamaan Calon, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Beliau juga berharap semua pihak memahami semua urusan sama ada berkaitan pentadbiran, rumah tangga dan politik ada kaitannya dengan dosa dan pahala.

“Fahaman tidak boleh bercakap menyentuh hal-hal agama dalam politik tidak benar. Tak kan itu pun tak boleh cakap. Memisahkan politik dan agama adalah fahaman sekular,” tambah lagi,

Mengulas berkenaan dakwaan PH kononnya parti itu dapat mengambil balik Kedah dan Terengganu daripada PERIKATAN NASIONAL (PN), Sanusi berkata, tidak salah untuk berangan-angan.

Ujar beliau, PN komited berusaha untuk mentadbir kesemua enam negeri yang terbabit dengan PRN 12 Ogos ini.

“Angan-angan adalah percuma. Tak kena duit. Namun PN tetap bekerja untuk mentadbir enam negeri selepas PRN nanti,” tambahnya.

Kata beliau, mana-mana parti perlu menang sekurang-kurangnya 19 kerusi untuk mendapat majoriti mudah bagi menubuhkan kerajaan di Kedah.

“Nak tubuh kerajaan kena ada 19. Tak payah swinglah, kalau dah nak jadi pembangkang juga. Swing pun pun tak boleh tubuh kerajaan, baik tak payah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/7/2023

- Advertisement -