
ALOR SETAR: Semua Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) termasuk Menteri Besar menyerahkan kunci kenderaan rasmi kerajaan dalam satu majlis ringkas di Wisma Darul Aman, pagi ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penyerahan itu berikutan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah telah dibubarkan hari ini.
Semua kunci kenderaan rasmi Exco kerajaan negeri bersama dokumen berkaitan diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Seri Norizan Khazali.
“Ini satu usaha agar proses demokrasi berjalan dengan betul memandangkan kebanyakan program yang berlaku dalam tempoh pembubaran hingga pilihan raya adalah program kempen,” jelas beliau pada sidang media sebaik sahaja selesai majlis berkenaan.
Katanya, bermula hari ini beliau dan semua Exco menggunakan kenderaan peribadi bagi meneruskan tanggungjawab sebagai kerajaan interim (Caretaker Government).
“Ini lebih baik untuk elak dituduh menggunakan kenderaan kerajaan untuk kempen parti politik.
“Walaupun naik kenderaan sendiri ini tidak akan dipuji tapi rasa lebih selamat kerana sekarang ini orang lebih suka tular benda-benda fitnah dan tak betul,” tambah beliau.
Jelasnya, kerajaan interim sepanjang tempoh tarikh pembubaran DUN sehingga PRN akan ditadbir berdasarkan garis panduan Penasihat Undang-Undang Negeri dan pejabat Peguam Negara.
Muhammad Sanusi juga mengharapkan rakan-rakan daripada parti lain juga berbuat demikian dan elak menggunakan aset kerajaan sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah berlangsung. – HARAKAHDAILY 28/6/2023




















