
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi jaminan kepada pengguna bahawa Jalan Kuala Berang di Terengganu ke Aring, Kelantan selamat digunakan selepas banyak kerosakan berlaku di laluan terbabit.
Bahkan Senator Hussin Ismail berkata, antara punca kerosakan kerana laluan itu turut digunakan lori bijih besi yang membawa muatan sehingga 70 tan sedangkan had ditetapkan 53 tan sahaja.
Beliau berkata, walaupun laluan itu menghubungkan tiga negeri iaitu Simpang Pulai, Gua Musang, dan Kuala Berang, namun jalan yang paling kritikal ialah antara Kuala Berang dan Aring.
“Keupayaan beban jalan menurut reka bentuk, berapa tanggungan dia sebab pada saya mungkin punca kerosakan paling besar ialah lori pembawa bijih yang bijih besi antara 60 hingga 70 tan.
“Ini menjejaskan pengguna lain pun tidak selamat, bila agak perancangan kementerian supaya jalan ini selamat digunakan oleh pengguna,” katanya dalam soalan tambahan ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad mengakui lori melebihi muatan masih menggunakan laluan tersebut sehingga berlaku tiga kali kerosakan.
Malah kata beliau lagi, kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan tambahan sebanyak RM48 juta bagi melaksanakan proses membaik pulih demi keselesaan pengguna jalan raya.
Menurutnya, antara penyelesaiannya ialah kerjasama antara kementerian termasuk Kementerian Pengangkutan untuk memastikan setiap pengguna jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan.
“Memang benar apa yang disebutkan, selain faktor alam sekitar seperti monsun timur laut, kejadian tanah runtuh…ini kali ketiga dan kita memohon peruntukan baharu untuk kerja baik pulih.
“Ada muatan sehingga 100 tan, saya percaya kerana semua pihak amat penting iaitu kekerapan operasi penguatkuasaan mesti dilakukan dengan kerjasama semua pihak,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2023




















