
KUALA LUMPUR: Langkawi adalah lokasi paling sesuai dan strategik untuk menganjurkan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA).
Ini menyebabkan Kementerian Pertahanan (Mindef) berpandangan tidak ada keperluan untuk mengubah lokasi penganjuran LIMA yang diadakan dua tahun sekali itu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pemilihan Langkawi mengambil kira kemudahan seperti kawasan lapang untuk menempatkan pelbagai aset ketenteraan, ruang udara yang tidak sibuk dan infrastruktur yang mencukupi.
Katanya, LIMA pada tahun ini merupakan yang terbesar dalam sejarah penganjuran sejak 1991 apabila disertai lebih 500 pempamer dan 14 negara.
“LIMA baru-baru ini, kita ada lebih 100 buah kapal terbang untuk pameran, aerobatik dan statik kapal terbang ketenteraan, komersial dan jet peribadi.
“Jadi kita memerlukan kawasan yang amat sesuai dan kita tak boleh letak di kawasan yang lapangan terbang sibuk dan terpaksa menutup ruang udara. Ini kerana pertunjukan aerobatik memerlukan kita menutup lebih kurang empat jam ruang udara. Ia akan menganggu lalu lintas penerbangan awam,” katanya ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Mohamad berkata, perairan di Langkawi pula mempunyai kedalaman yang sesuai dan pelabuhan yang terlindung.
“LIMA 2023, kita ada 61 kapal perang yang mengambil bahagian dari 14 negara dan itu pun kita terpaksa tolak tiga atau empat negara pada saat akhir yang mahu mempamerkan kapal perang mereka. Kita terpaksa tolak kerana tempat tak ada untuk letakkan (aset) mereka.
“Selain itu, LIMA dianjurkan di Langkawi kerana mempunyai hotel yang mencukupi. Kita ada lebih kurang 15 hotel bertaraf antarabangsa dan itu pun tak cukup,” katanya yang mencadangkan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) diperbesarkan bagi menampung jumlah pempamer yang semakin bertambah. – HARAKAHDAILY 27/6/2023




















