Kerajaan perlu bantu klinik doktor muda

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membantu doktor muda yang membuka klinik dengan melantik klinik berkenaan sebagai panel bagi melaksanakan saringan kesihatan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, pandemik Covid-19 membuktikan kerjasama sektor awam dan swasta mampu menjayakan kempen pemberian vaksin serta rawatan susulan.

- Advertisement -

“Kita melihat kemunculan klinik-klinik baharu bagai cendawan tumbuh selepas hujan apabila ramai doktor kontrak meletak jawatan dan membuka klinik sendiri. Ada klinik yang berjaya dan ada juga klinik yang terpaksa berhempas pulas untuk menarik pesakit ke klilnik mereka.

“Oleh itu, kerajaan perlu mengambil peluang ini untuk memperkasakan sistem penyampaian penjagaan kesihatan dalam komuniti dengan melantik klinik mereka untuk melaksana saringan kesihatan Peka B40,” katanya ketika sesi perbahasan Kertas Putih Kesihatan di Dewan Negara, hari ini.

Dr Wan Martina menyifatkan suatu kerugian kepada negara jika klinik yang dikendalikan tenaga profesional berkenaan tidak dilantik sebagai panel kerana pada masa sama dapat mengurangkan beban petugas kesihatan di sektor awam.

Katanya, terdapat sesetengah klinik berkenaan terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan kelulusan permohonan menjadi panel program Peka B40.

“Ada yang memohon lebih enam bulan atau (adakah kelewatan) mungkin kerana tiada kakitangan yang mencukupi untuk memproses permohonan. Oleh itu, saya mohon supaya hal ini diberi perhatian oleh kementerian,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2023

- Advertisement -