
DOA Nabi Zakaria terkabul
قَالَ رَبِّ ٱجْعَل لِّىٓ ءَايَةً قَالَ ءَايَتُكَ أَلَّا تُكَلِّمَ ٱلنَّاسَ ثَلَٰثَ لَيَالٍ سَوِيًّا
“Zakaria berkata: “Ya Tuhanku! Berikanlah daku suatu tanda.” Tuhan berfirman: “Tanda bagimu ialah bahawa kamu tidak dapat bercakap-cakap dengan manusia selama tiga malam, padahal engkau sihat.”” (10)
فَخَرَجَ عَلَىٰ قَوْمِهِۦ مِنَ ٱلْمِحْرَابِ فَأَوْحَىٰٓ إِلَيْهِمْ أَن سَبِّحُوا۟ بُكْرَةً وَعَشِيًّا
“Maka dia keluar dari mihrab menuju kaumnya, lalu dia memberi isyarat kepada mereka; hendaklah kamu bertasbih pada waktu pagi dan petang.” (11)
Tujuan Allah menjadikan Nabi Zakaria tidak dapat berkata-kata adalah sebagai bukti bahawa isterinya telah mengandung. Apabila bertemu dengan anak-anak muridnya, Baginda tidak dapat berkata apa-apa kecuali memberi isyarat dengan menyuruh mereka bertasbih memuji Allah S.W.T pada waktu pagi dan petang.
Nabi Yahya diangkat sebagai Nabi
يَٰيَحْيَىٰ خُذِ ٱلْكِتَٰبَ بِقُوَّةٍ وَءَاتَيْنَٰهُ ٱلْحُكْمَ صَبِيًّا
“Wahai Yahya! Ambillah al-Kitab (Taurat) itu dengan sungguh-sungguh. Dan Kami berikan kepadanya hikmah sejak dia masih kanak-kanak.” (12)
Allah tujukan ayat ini kepada anaknya iaitu Nabi Yahya A.S setelah Baginda dilahirkan. Baginda dilantik menjadi seorang Nabi. Semasa Baginda masih kecil, Allah telah mengilhamkan wahyu (kitab suci) dan hikmah kebijaksanaan (kefahaman yang mendalam mengenai hukum dan dapat melaksanakannya) kepadanya.
Tahu dan faham adalah dua hal yang berbeza. Dalam Bahasa Arab, tahu dipanggil sebagai ilmu. Satu hal lain yang lebih tinggi daripada tahu ialah faham. Ada orang yang ada ilmu tetapi kefahamannya tidak tinggi.
Ada pula yang tahu tetapi tidak faham mana, jadi dia tidak boleh mengajar orang lain. Sebab nak mengajar mestilah bukan sekadar tahu tetapi juga mesti faham.
Kebijaksanaan diperlukan dalam melaksanakan ilmu
Yang lebih tinggi daripada tahu dan faham ialah bijaksana. Bijak dalam menyampaikan sesuatu ilmu dan supaya ilmu tersebut diamalkan oleh orang lain. Almarhum Tok Guru pernah menyebut bahawa: “Secupak ilmu memerlukan segantang kebijaksanaan.”
Kita pun dituntut untuk mengajak orang dengan kebijaksanaan, bukan dengan ilmu sahaja. Dalam nak berdakwah, memang kena ada ilmu tetapi kalau tidak kena dengan caranya, boleh menimbulkan masalah walaupun niat atau tujuannya baik.
Sebagai contoh pada zaman Ibn Taimiyah, orang Mongol mengganas seperti minum arak. Pada suatu hari, beliau berjalan-jalan bersama anak-anak muridnya. Mereka menemui beberapa orang askar Mongol yang tengah mabuk. Ada anak muridnya mahu agar tindakan diambil terhadap mereka.
Namun, Ibn Taimiyah meminta supaya mereka dibiarkan sahaja. Sebab lebih baik mereka dalam keadaan mabuk daripada keadaan sedar yang mana mereka akan merampas harta benda, membunuh dan merogol. Walaupun mabuk itu hukumnya haram tetapi mengambil kira mana satu darurat yang lebih besar antara dua keadaan tersebut.
Oleh itu, teruskanlah belajar dan pengalaman boleh membantu kita. Dalam Islam, ilmu itu tidak diperoleh melalui bacaan sahaja. Menurut ulamak, sesiapa yang hanya membaca tanpa berguru, dia sebenarnya belajar dengan syaitan sebab tiada orang yang membimbingnya. Ia boleh menyebabkan dia salah dalam memahami ilmu dan memberi tafsiran.
Sifat-sifat Nabi Yahya
وَحَنَانًا مِّن لَّدُنَّا وَزَكَوٰةً وَكَانَ تَقِيًّا
“Dan rasa belas kasihan yang mendalam dari sisi Kami dan kesucian (daripada dosa). Dan dia adalah seorang yang bertakwa.” (13)
وَبَرًّۢا بِوَٰلِدَيْهِ وَلَمْ يَكُن جَبَّارًا عَصِيًّا
“Dan banyak berbakti kepada kedua orang tuanya dan bukanlah dia orang yang sombong lagi derhaka.” (14)
Sifat-sifat atau ciri-ciri peribadi Nabi Yahya telah diceritakan satu persatu dalam ayat 12 hingga 14. Sifat-sifat istimewanya adalah seperti berikut:
- Anak kepada Nabi Zakaria.
- Diberikan hikmah kebijaksanaan sejak masih kecil.
- Perangainya; berakhlak baik, bertakwa, berbuat baik terhadap kedua-dua ibu bapa dan bukan seorang yang angkuh atau derhaka kepada Allah.
وَسَلَٰمٌ عَلَيْهِ يَوْمَ وُلِدَ وَيَوْمَ يَمُوتُ وَيَوْمَ يُبْعَثُ حَيًّا
“Kesejahteraanlah ke atas dirinya pada hari dia dilahirkan, pada hari dia meninggal, dan pada hari dia dibangkitkan hidup kembali.” (15)
Nabi Yahya mati akibat dibunuh atau dipancung lehernya oleh King Herod iaitu seorang pemerintah Rom di Palestin. Pada ketika itu, Palestin berada di bawah jajahan takluk Kerajaan Rom yang merupakan kuasa besar sebelum kebangkitan Islam.
Kurniaan anak sebagai tanda kebesaran-Nya
وَٱذْكُرْ فِى ٱلْكِتَٰبِ مَرْيَمَ إِذِ ٱنتَبَذَتْ مِنْ أَهْلِهَا مَكَانًا شَرْقِيًّا
“Dan ceritakanlah (Muhammad) kisah Maryam di dalam (al-Quran), iaitu ketika dia menjauhkan diri daripada keluarganya ke suatu tempat di sebelah Timur (Baitul-Muqaddis).” (16)
Asal perkataan Siti adalah daripada perkataan Sayyidatina. Siti Maryam dipelihara oleh Nabi Zakaria semenjak kecil sehingga besar:
فَٱتَّخَذَتْ مِن دُونِهِمْ حِجَابًا فَأَرْسَلْنَآ إِلَيْهَا رُوحَنَا فَتَمَثَّلَ لَهَا بَشَرًا سَوِيًّا
“Maka dia mengadakan tabir (yang melindunginya) daripada mereka, lalu Kami mengutus roh Kami kepadanya, maka dia menjelma di hadapannya (dalam bentuk) manusia yang sempurna.” (17)
Nabi Zakaria menyediakan satu tempat khas yang cukup dengan segala keperluan untuk Maryam beribadah. Pintunya dikunci dan hanya Nabi Zakaria yang boleh keluar masuk tempat itu. Tujuannya adalah untuk menyelamatkannya daripada sebarang gangguan sebab beliau ialah seorang yang baik akhlaknya dan cantik rupa parasnya:
قَالَتْ إِنِّىٓ أَعُوذُ بِٱلرَّحْمَٰنِ مِنكَ إِن كُنتَ تَقِيًّا
“Maryam berkata: “Sesungguhnya aku berlindung darimu kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, jika kamu seorang yang bertakwa.”” (18)
Di saat beliau beribadah, lalu Allah menghantar roh kepadanya. Roh itu adalah malaikat Jibril yang menjelma dalam rupa lelaki yang tampan:
قَالَ إِنَّمَآ أَنَا۠ رَسُولُ رَبِّكِ لِأَهَبَ لَكِ غُلَٰمًا زَكِيًّا
“Jibril berkata: Sesungguhnya aku ini hanyalah seorang utusan Tuhanmu untuk memberimu seorang anak lelaki yang suci.” (19)
قَالَتْ أَنَّىٰ يَكُونُ لِى غُلَٰمٌ وَلَمْ يَمْسَسْنِى بَشَرٌ وَلَمْ أَكُ بَغِيًّا
“Maryam berkata: “Bagaimana akan ada bagiku seorang anak lelaki, sedangkan tidak pernah seorang manusia pun menyentuhku dan aku bukan (pula) seorang penzina!”” (20)
Beliau tertanya-tanya bagaimana nak dapat anak sedangkan beliau tidak menikah atau melakukan perkara yang tidak baik:
قَالَ كَذَٰلِكِ قَالَ رَبُّكِ هُوَ عَلَىَّ هَيِّنٌ وَلِنَجْعَلَهُۥٓ ءَايَةً لِّلنَّاسِ وَرَحْمَةً مِّنَّا وَكَانَ أَمْرًا مَّقْضِيًّا
“Jibril berkata: “Demikianlah.” Tuhanmu berfirman: “Hal itu adalah mudah bagi-Ku; dan agar dapat Kami menjadikannya suatu tanda bagi manusia dan sebagai rahmat daripada Kami; dan hal itu adalah suatu perkara yang sudah diputuskan.”” (21)
Jibril menjawab bahawa ia tidaklah pelik walaupun Maryam tidak menikah atau tidak melakukan perkara yang tidak baik sebab kuasa Allah itu besar. Kurniaan anak kepadanya merupakan tanda kebesaran Allah S.W.T. Contoh lain yang menunjukkan tanda kebesaran-Nya adalah Nabi Adam yang tidak mempunyai ibu dan ayah.
Ia juga menjadi satu rahmat Allah kerana anak yang bakal dilahirkan itu ialah seorang Nabi. Baginda akan meneruskan kerja-kerja dakwah:
فَحَمَلَتْهُ فَٱنتَبَذَتْ بِهِۦ مَكَانًا قَصِيًّا
“Maka Maryam mengandung, lalu dia mengasingkan diri dengan kandungannya itu ke tempat yang jauh.” (22)
Maryam mula mengandung selepas pertemuannya dengan Jibril. Beliau keluar dari tempat tinggalnya dan membawa diri ke suatu tempat yang terpencil. Sebab berasa bimbang kalau hal itu diketahui:
فَأَجَآءَهَا ٱلْمَخَاضُ إِلَىٰ جِذْعِ ٱلنَّخْلَةِ قَالَتْ يَٰلَيْتَنِى مِتُّ قَبْلَ هَٰذَا وَكُنتُ نَسْيًا مَّنسِيًّا
“Maka rasa sakit akan melahirkan anak memaksa dia (bersandar) pada pangkal pohon kurma, dia (Maryam) berkata: “Aduhai, alangkah baiknya aku mati sebelum ini dan aku menjadi sesuatu yang tidak bererti, lagi dilupakan.”” (23)
فَنَادَىٰهَا مِن تَحْتِهَآ أَلَّا تَحْزَنِى قَدْ جَعَلَ رَبُّكِ تَحْتَكِ سَرِيًّا
“Maka Jibril menyerunya dari tempat yang rendah: “Janganlah kamu bersedih hati, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan anak sungai di bawahmu.” (24)
Allah telah menyediakan sebatang anak sungai berhampirannya. Jadi, beliau boleh mencuci darah dan memandikan anaknya di sungai itu:
وَهُزِّىٓ إِلَيْكِ بِجِذْعِ ٱلنَّخْلَةِ تُسَٰقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا
“Dan goyangkanlah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu.” (25)
Selama tempoh menjaga anak, apabila lapar, disuruhnya agar menggoncangkan pohon tamar dan buah-buah tamar akan gugur dengan sendirinya.
Diam lebih baik daripada menjawab mulut
فَكُلِى وَٱشْرَبِى وَقَرِّى عَيْنًا فَإِمَّا تَرَيِنَّ مِنَ ٱلْبَشَرِ أَحَدًا فَقُولِىٓ إِنِّى نَذَرْتُ لِلرَّحْمَٰنِ صَوْمًا فَلَنْ أُكَلِّمَ ٱلْيَوْمَ إِنسِيًّا
“Maka makan, minum dan bersenang hatilah kamu. Jika kamu melihat seorang manusia, maka katakanlah: “Sesungguhnya aku telah bernazar untuk berpuasa kerana Tuhan Yang Maha Pemurah, maka aku tidak akan berbicara dengan seorang manusia pun pada hari ini.”” (26)
Kalau beliau dan anaknya dijumpai oleh orang dan ditanya akan halnya, beliau diajar oleh Allah untuk diam membisu. Cuma perlu beritahu bahawa beliau bernazar untuk tidak berkata-kata kerana Allah. Sebab kalau beliau menjawab, ceritanya akan menjadi lebih panjang.
Inilah taktik bahawa bukan semua yang ditanya perlu kita jawab. Ada hal yang mana lebih baik kalau kita tidak jawab. Semasa Sayyidina Abu Bakar sedang bersama-sama dengan Rasulullah dan beberapa orang Sahabat, tiba-tiba ada orang muncul dan berkata buruk terhadap Sayyidina Abu Bakar. Beliau hanya diam dan langsung tidak berkata apa-apa. Nabi pun diam dan tidak berkata apa-apa.
Namun, lama-kelamaan kata-kata buruk itu makin menyakitkan hatinya. Beliau berpaling dan jawab. Setelah itu, Rasulullah pun bangun dan beredar dari tempat tersebut. Beliau berasa hairan lalu mengikuti Nabi untuk bertanya.
Nabi memberitahu bahawa semasa Sayyidina Abu Bakar diam, malaikat turun dan berada bersamanya. Namun di saat beliau mula menjawab mulut, malaikat bangun dan meninggalkannya. Syaitan pula yang datang dan berada bersamanya. Jadi, Nabi pun tak boleh bersama. Maka, ada ketikanya kita tidak perlu jawab pun.
Ada seorang anak murid yang suka menjawab. Gurunya menegurnya dan bertanya, “Kalau anjing menyalak kepadamu, engkau nak menyalak juga ke?” Kemudian, barulah dia sedar bahawa ada hal-hal yang tidak perlu pun untuk dilayan.
Mukjizat Nabi Isa: Berkata-kata dalam buaian
فَأَتَتْ بِهِۦ قَوْمَهَا تَحْمِلُهُۥ قَالُوا۟ يَٰمَرْيَمُ لَقَدْ جِئْتِ شَيْـًٔا فَرِيًّا
“Maka Maryam membawa anak itu kepada kaumnya dengan menggendongnya. Kaumnya berkata: “Wahai Maryam! Sesungguhnya kamu telah melakukan sesuatu yang amat mungkar.” (27)
Setelah Maryam pulang ke kampung, beliau bertemu dengan orang kampung. Mereka berasa hairan dan menuduhnya yang bukan-bukan. Dalam fikiran mereka, Maryam telah pun melakukan hal yang tidak baik.
Ada orang yang suka menyimpulkan hal yang dilihat tanpa usul periksa terlebih dahulu. Kemudiannya barulah tahu bahawa ternyata telah tersilap dalam menilai. Inilah masalah masyarakat kita pada hari ini.
يَٰٓأُخْتَ هَٰرُونَ مَا كَانَ أَبُوكِ ٱمْرَأَ سَوْءٍ وَمَا كَانَتْ أُمُّكِ بَغِيًّا
“Wahai saudara perempuan Harun! Ayahmu sekali-kali bukanlah seorang yang jahat dan ibumu bukanlah seorang penzina” (28)
فَأَشَارَتْ إِلَيْهِ قَالُوا۟ كَيْفَ نُكَلِّمُ مَن كَانَ فِى ٱلْمَهْدِ صَبِيًّا
“Maka Maryam menunjukkan kepada anaknya. Mereka berkata: “Bagaimana kami akan berbicara dengan anak kecil yang masih dalam buaian?”” (29)
Apabila Maryam meminta mereka bertanya kepada anaknya yang berada di dalam buaian, mereka berasa pelik bagaimana nak tanya bayi yang masih belum dapat bercakap:
قَالَ إِنِّى عَبْدُ ٱللَّهِ ءَاتَىٰنِىَ ٱلْكِتَٰبَ وَجَعَلَنِى نَبِيًّا
“Isa berkata: “Sesungguhnya aku ini hamba Allah, Dia memberiku Kitab (Injil) dan Dia menjadikan aku seorang Nabi.” (30)
Bayi itu iaitu Nabi Isa menjawab sedemikian kepada mereka seolah-olah Baginda menghafal skrip.
وَجَعَلَنِى مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنتُ وَأَوْصَٰنِى بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱلزَّكَوٰةِ مَا دُمْتُ حَيًّا
“Dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana saja aku berada dan Dia memerintahkan kepadaku (mendirikan) solat dan (menunaikan) zakat selama aku hidup.” (31)
Nabi Isa membawa berkat. Apabila Baginda besar dan menjadi seorang Nabi, Allah memberikannya kelebihan boleh mengubati orang sakit. Penyakit yang kritikal pada waktu itu adalah penyakit sopak dan kusta.
وَبَرًّۢا بِوَٰلِدَتِى وَلَمْ يَجْعَلْنِى جَبَّارًا شَقِيًّا
“Dan berbakti kepada ibuku dan Dia tidak menjadikan aku seorang yang sombong lagi celaka.” (32)
وَٱلسَّلَٰمُ عَلَىَّ يَوْمَ وُلِدتُّ وَيَوْمَ أَمُوتُ وَيَوْمَ أُبْعَثُ حَيًّا
“Dan semoga kesejahteraan dilimpahkan kepadaku, pada hari aku dilahirkan, pada hari aku meninggal dunia dan pada hari aku dibangkitkan hidup kembali.” (33)
ذَٰلِكَ عِيسَى ٱبْنُ مَرْيَمَ قَوْلَ ٱلْحَقِّ ٱلَّذِى فِيهِ يَمْتَرُونَ
“Itulah Isa putera Maryam, yang mengatakan perkataan yang benar, yang mereka berbantah-bantahan mengenai kebenarannya.” (34)
Orang-orang Yahudi dan Kristian mempunyai pandangan yang berbeza terhadap Nabi Isa:
1. Kristian mendakwa bahawa kalau Nabi Isa tiada ayah, maka Baginda ialah anak Tuhan atau ‘Son of God’.
2. Yahudi pula mendakwa bahawa Nabi Isa ialah anak haram sebab Baginda tidak diketahui siapa ayahnya.
3. Ada juga pandangan dalam agama Kristian yang menyatakan bahawa Nabi Isa mempunyai ayah yang bernama Yusuf yang bekerja sebagai tukang kayu atau disebut sebagai ‘Joseph The Carpenter’.
Kesemua pandangan ini adalah tidak benar sama sekali. Jadi, apa yang Allah telah ceritakan dalam ayat ini haruslah dijadikan sebagai pegangan akidah kita sebagai orang beriman. Jadi, kita tidak boleh berpegang dengan pandangan-pandangan di atas:
مَا كَانَ لِلَّهِ أَن يَتَّخِذَ مِن وَلَدٍ سُبْحَٰنَهُۥٓ إِذَا قَضَىٰٓ أَمْرًا فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ
“Tidak layak bagi Allah mempunyai anak, Maha Suci Dia. Apabila Dia telah menetapkan sesuatu, maka Dia hanya berkata kepadanya: ‘Jadilah’, maka jadilah ia.” (35)
Dengan kalimah ‘kun fayakun’, maka Allah boleh mencipta apa sahaja seperti yang dikehendaki-Nya. Jika Allah berkehendak akan hujan, maka hujanlah ia. Begitu juga dengan kemarau dan banjir umpamanya. Contoh lain adalah ketika banjir besar pada zaman Nabi Nuh, tidak perlu nak menunggu hujan tetapi air keluar daripada bawah tanah:
وَإِنَّ ٱللَّهَ رَبِّى وَرَبُّكُمْ فَٱعْبُدُوهُ هَٰذَا صِرَٰطٌ مُّسْتَقِيمٌ
“Sesungguhnya Allah adalah Tuhanku dan Tuhanmu, maka sembahlah Dia. Ini adalah jalan yang lurus.” (36)
Nabi Isa boleh menjawab segala tuduhan orang kampung terhadap ibunya. Boleh berkata-kata sejak dalam buaian lagi. Ini merupakan salah satu mukjizatnya.
Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullahyang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 26 Jun 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 26/6/2023











