RUU rokok ambil kira pandangan semua pihak

Lukanisman Awang Sauni - Foto Jabatan Penerangan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengambil maklum pandangan yang dikemukakan semua pihak sebelum Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dimulakan pada 2027.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, berkata ini termasuk mengkaji cadangan supaya kawalan penggunaan rokok dan rokok elektronik dijalankan secara serentak melalui dasar Generasi Penamat (GEG).

- Advertisement -

Katanya, terdapat beberapa perkara lagi berhubung peruntukan dalam RUU yang melibatkan khidmat masyarakat dan penilaian semula GEG terhadap produk vape

“Ada pandangan RUU itu pada dasarnya akan mewujudkan generasi penamat rokok terlebih dahulu kemudian diteruskan kepada vape dan ada pandangan yang bercadang untuk GEG diadakan secara serentak,” katanya ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Lim Pay Hen mengenai kegusaran utama yang menyebabkan RUU itu tidak dapat diluluskan di Dewan Rakyat, baru-baru ini dan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan Parlimen

Lukanisman berkata, KKM akan sedaya upaya untuk memastikan segala pandangan Ahli Parlimen diberi perhatian.

Katanya, antara perkara yang ditekankan di Parlimen adalah kompaun yang terlalu rendah, iaitu hanya kira-kira RM500 berbanding cadangan asal sebanyak RM5,000 dan kompaun sedia ada pada peringkat RM1,000. – HARAKAHDAILY 21/6/2023

- Advertisement -