
SAYA menjadi peserta Seminar Pemikiran Dakwah Tuan Guru Dato’ Harun Taib di KualaTerengganu pada 19 Jun 2023. Perkongsian dibuat oleh enam orang, bermula dengan Ustaz Hamdi mewakili keluarga almarhum, Ustaz Ismail Osman, Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu dan Haji Zainuddin Abu Bakar yang banyak bersama dengan almarhum dalam program usrah dan tarbiah.
Selain itu, Dato’ Abdul Wahid Endut dan Dato’ Yahya Ali yang bersama almarhum dalam pentadbiran kerajaan negeri Terengganu pada akhir 1999-2004 dan diakhiri oleh YB Dato’ Ustaz Mohd Nor Hamzah, Exco Dakwah, juga antara anak didik almarhum dalam tarbiah.
Pembentangan dimulakan oleh anak almarhum, Ustaz Hamdi Harun. Beliau memulakan ucapan agar seminar ini termasuk dalam aktiviti yang boleh menghasilkan pahala kepada almarhum. Sehingga kini, sudah hampir 10 tahun almarhum meninggal dunia iaitu pada Januari 2014. Almarhum pergi meninggalkan anak-anak dan anak didik yang ramai. Banyak sekali garapan dan harapan daripada almarhum yang ditinggalkan, terutama dalam bidang pendidikan.
Almarhum sentiasa menasihati anak-anak dan anak didiknya terus belajar tanpa henti. Lima orang anak almarhum ikut sahaja arahan untuk belajar di mana-mana tempat atau bidang tanpa bantah. Ini memberi iktibar perlunya ketegasan menentukan hala tuju belajar anak-anak agar membawa manfaat dunia akhirat.
Almarhum telah menginfaqkan usianya untuk Islam hingga berkerusi roda di akhir hayat. Beliau sentiasa mengajak anak-anaknya menyertai program anjuran parti. Begitu juga bonda. Anak-anak dapat belajar bentuk pengorbanan untuk Islam.
Beliau juga mengambil masa untuk keluarga. Biasanya pada hari Sabtu, almarhum membawa keluarga membeli-belah. Anak-anak faham aktiviti almarhum.
Almarhum sangat menekankan sudut perkaderan ahli jemaah. Dibimbing anak didik untuk melanjutkan pelajaran ke Kolej Universiti Darul Quran, KUDQI, Mesir dan lain-lain. Penubuhan KUDQI itu juga dibentuk untuk melatih dan mengkaderkan pelajar, biar alim dan haraki.
Beliau berpesan supaya belajar hingga ke tahap tertinggi. Almarhum ialah bapa kepada anak-anak, juga untuk abna alharakah.
Dalam pembentangan kedua, Ustaz Ismail Osman yang merupakan Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu mengimbau nostalgia ketika belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau menyebut bahawa beliau kenal Dato’ Harun Taib melalui namanya yang tidak elok di Mesir. Ketika itu ada 5 nama pelajar Malaysia yang tidak elok kononnya di Mesir, sedangkan mereka itu sebenarnya orang yang baik seperti Ustaz Ali, Dr Abdul Aziz Hanafi dan beberapa orang lagi. Dari nama tidak elok itulah, Ustaz Ismail Osman cuba mengenali siapa sebenarnya almarhum Ustaz Harun Taib. Rupa-rupanya beliau adalah seorang yang baik, yang mahu mengangkat tinggi agama ini.
Di Mesir ketika itu, almarhum sudah membayangkan untuk menubuhkan pusat pendidikan Islam apabila pulang ke tanah air. Dari peringkat mahasiswa lagi beliau sudah berfikir tentang negara. Beliau membayangkan akan menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa penting di pusat pendidikan itu. Semangat dan idea ini dikongsi bersama dengan pelajar Malaysia lain di Mesir seperti Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Dato’ Husain Awang.
Apabila pulang ke Malaysia, cita-citanya itu dibuktikan melalui penubuhan Maahad Darul Quran Rusila, PASTI, KUDQI hinggalah Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM). Niat dari usia muda ini berterusan hingga apa yang dapat dilihat kini.
Pernah ditanya kepada almarhum, apa konsep pendidikan yang dicadangkan iaitu rumah berdekatan dengan masjid dan pusat pengajian. Beliau menjawab konsepnya dari Madinah, di mana rumah Nabi berada di sebelah masjid Nabi dan sekelilingnya rumah-rumah yang mengambil tarbiah daripada Nabi SAW. Apabila almarhum pulang ke Malaysia, itulah yang dibuat, sehingga Kampung Kubang Lembek, Manir menjadi tempat tarbiah penting, sama ada akademik atau parti.
Almarhum Dato’ Harun Taib mengadakan usrahnya pada hari Selasa malam Rabu, di mana beliau membuatnya sempena dengan pimpinan gerakan Islam di Mesir yang mengadakan kelasnya yang tersendiri disebut ‘hadithulatha’. Jadual program tarbiah almarhum tidak berubah. Selasa malam Rabu itulah antara jadual tetap, melainkan perubahan jadual program itu datang dari pihak kepimpinan atas.
Tarbiah itu seperti jala, ia melebar ke semua tempat. Inilah yang telah dibuat oleh almarhum. Beliau pernah menghantar ‘kertas kerja bergerak’ untuk membentangkan tajuk mengenai usrah dan tarbiah di negeri selain Terengganu. Beliau sebenarnya menghantar anak buahnya yang boleh bercakap mengenai topik tarbiah. Ia adalah hasil tarbiah almarhum melalui usrah dan lain-lain sehingga melahirkan anak-anak buahnya yang faham tentang tarbiah hingga layak membentang kertas kerja.
Almarhum Dato’ Harun Taib mengambil pandangan rakan apabila mahu membuat keputusan. Beliau juga mencuba anak buahnya, mahu melihat pandangan mereka. Contohnya ketika beliau menjadi Exco kerajaan negeri Terengganu sesi 1999-2004. Kononnya beliau mahu mengerjakan haji. Anak buahnya bertanya: “Haji ni sunat ke berapa? Exco ni lebih penting, tadbir negeri”. Almarhum hanya tersenyum. Sebenarnya beliau mahu menguji sensitiviti anak buahnya.
Beliau pernah menyebut mahu menyambung pelajaran ke peringkat PhD, dan cuti dari menjadi Exco. Beliau telah mengumpulkan 280 buah buku rujukan. Ada di antaranya buku yang sukar ditemui. Anak buahnya bertanya: “Kenapa mahu sambung? Padan dengan tadbir negeri sudahlah”. Sebenarnya almarhum mahu menguji anak buahnya.
Beliau pernah menjadi pengerusi GLC. Dalam masa yang sama, beliau juga mengurus pelajar-pelajar untuk menyambung pelajaran ke United Kingdom. Ada 50 orang pelajar yang dicadangkan. Mereka akan dapat menguasai tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Arab dan Inggeris. Elaun Pengerusi GLC itu diletak dalam sebuah tabung pendidikan. Apabila mahu menggunakan peruntukan pembelajaran, duit itu yang digunakan. Dengan kata lain, senang sign check.
Apabila beliau menghantar para pelajar ke UK, beliau meminta supaya dicari bangunan untuk dibuka cawangan KUDQI di UK, agar mudah para pelajar menyambung pengajian. Namun, ia hanya tinggal cadangan kerana tidak sempat dilakukan apabila kerajaan PAS Terengganu jatuh pada 2004.
Pernah berlaku apabila pegawai sebuah anak syarikat Terengganu menyebut almarhum sangat tegas dan sensitif apabila sesuatu urusan kewangan, pembelian dan lain-lain berkait dengan riba, beliau segera menolak. Contohnya apabila ingin dibeli baja pokok sawit menggunakan kaedah pembelian ada unsur riba.
Di saat akhir sebelum kematian, beliau pernah menyebut jika tesis PhDnya dibuat, ia membincangkan isu ekstradisi. Contohnya, kapal terbang dari negara A, penumpang dari negara B, perampas kapal terbang dari negara C dan mendarat di negara D. Bagaimana Islam menyelesaikan isu ini menurut hukum fiqh berkaitan? Kebetulan tidak lama selepas itu, berlaku nahas kapal terbang MH370.
Mengenai gerakan Islam PAS, ada kes menyelinap dari pertubuhan Islam yang lain ke dalam PAS. Beliau menyedari hal ini dan menyebut, insya-Allah jemaah akan dipelihara Allah. Kelompok ini akan keluar segugus atau terkeluar segugus. Beliau meninggal dunia pada tahun 2014. Pada tahun 2015, pembersihan dalam PAS berlaku apabila kelompok yang kini dikenali ahli PAN keluar beramai-ramai.
Kadang-kadang menyebut: “Orang ini tidak lama dalam Jemaah”. Betul sungguh bagai dikata. Ia berlaku selepas itu.
Beliau tidak membatalkan usrah dari pihaknya, melainkan jika ada program yang bertembung dari pihak atas. Usrah mesti dijayakan. Biar ada usrah. Naqib mesti rasa macamana kalau anak buah tidak datang usrah. Dan ia menjadi tarbiah kepada naqib untuk hadir dalam usrah lain. Beliau mengingatkan tentang tiga tanda munafiq, antaranya mengenai janji. Nabi sebut: واذا وعد اخلف
“Apabila dia berjanji, dia mungkir janji.”
Justeru, apabila janji buat usrah, perlu ditepati. Ahli mesti datang. Tidak datang melainkan dengan uzur syarie. Ini menunjukkan beliau sangat memberi perhatian kepada usrah, akhlak berjanji dan prioriti dalam jemaah.
Dari aspek tawaduknya, banyak perkara yang boleh disebut. Sebagai contoh, ketika beliau mengiringi para pelajar di KLIA untuk pergi ke UK, beliau meminta anak buahnya memanggil ibubapa untuk memberi taklimat perjalanan dan pembelajaran. Kenapa orang lain yang disuruh, sedangkan almarhum ada di situ? Ia antara sifat tawaduk beliau.
Pernah berlaku juga apabila kerja jemaah mahu disegerakan. Senua yang terlibat buat kerja malam itu sampai Subuh kerana esoknya program akan dibuat. Gerak kerja mesti siap. Yang ditabiah ialah kalau buat awal, siap awal, buat lambat, terpaksa bekerja hingga ke Subuh.

Haji Zainuddin pula memulakan pembentangannya dengan menyebut bahawa beliau tidak boleh berucap secara santai kerana apa yang ingin dibentang ialah sebenarnya manhaj atau metodologi almarhum dalam tarbiah PAS. Ia berdasarkan pengalaman selama 30 tahun bersama almarhum Dato’ Harun Taib, mulai tahun 1984 hingga beliau meninggal.
Oleh kerana Haji Zainuddin sangat masak dengan manhaj tarbiah almarhum, YB Datuk Ustaz Idris Ahmad pernah datang ke rumahnya pada tahun 2015, meminta Haji Zainuddin bersama dalam Lajnah Tarbiah PAS Pusat untuk memperkasakan pengurusan nuqaba’ dan usrah dalam PAS. Beliau mahu individu yang profesional berada dalam lajnah untuk digabungjalin dengan ulamak.
Haji Zainuddin belajar di ITM pada tahun 1984. Di kampus ketika itu, gerak kerja ABIM dianggap sama dengan PAS. Ini kerana keahlian dan pemimpin ABIM dan PAS ketika itu ada yang hampir sama. Naqib usrahnya ketika itu ialah Ustaz Nik Razi. Beliau pesan supaya bila pulang nanti, jumpa Ustaz Harun Taib. Bila pulang ke Terengganu, selepas enam kali memimpin usrah bersama Haji Hassan Wahid, barulah berjumpa dengan Dato’ Harun Taib.
Bermulalah usrah yang beliau ikuti dibuat setiap minggu bersama almarhum selama 30 tahun itu.
Antara ayat al-Quran yang awal dibaca oleh almarhum dalam usrah yang pertama itu ialah ayat 78 dari surah Al-Haj:
وَجَاهِدُوْا فِى اللّٰهِ حَقَّ جِهَادِهٖۗ هُوَ اجْتَبٰىكُمْ وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى الدِّيْنِ مِنْ حَرَجٍۗ مِلَّةَ اَبِيْكُمْ اِبْرٰهِيْمَۗ هُوَ سَمّٰىكُمُ الْمُسْلِمِيْنَ ەۙ مِنْ قَبْلُ وَفِيْ هٰذَا لِيَكُوْنَ الرَّسُوْلُ شَهِيْدًا عَلَيْكُمْ وَتَكُوْنُوْا شُهَدَاۤءَ عَلَى النَّاسِۖ فَاَقِيْمُوا الصَّلٰوةَ وَاٰتُوا الزَّكٰوةَ وَاعْتَصِمُوْا بِاللّٰهِ ۗهُوَ مَوْلٰىكُمْۚ فَنِعْمَ الْمَوْلٰى وَنِعْمَ النَّصِيْرُ ۔
Maksudnya: “Dan berjihadlah kamu di jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu, dan Dia tidak menjadikan kesukaran untukmu dalam agama. (Ikutilah) agama nenek moyangmu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamakan kamu orang Islam sejak dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al-Qur’an) ini, agar Rasul (Muhammad) itu menjadi saksi atas dirimu dan agar kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia. Maka laksanakanlah solat; tunaikanlah zakat, dan berpegang teguhlah kepada Allah. Dialah Pelindungmu; Dia sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.”
Almarhum Dato’ Harun Taib menghuraikan ayat ini. Manusia seluruh dunia ada 6 bilion. Dari 6 bilion, ada 1 bilion lebih umat Islam. Dari seramai ini umat Islam, ada mukmin, ada munafiq, ada fasiq. Antum/kamu masuk dalam jemaah. Terimalah pilihan ini dengan amanah dan tanggungjawab. Ia adalah pilihan dari Allah.
Surah as-Saf pula adalah rumusan tentang gerak kerja berjemaah itu.
Beliau memulakan usrah dengan Al-Fatihah dan selawat. Kemudian pengenalan peribadi. Beliau menekankan rukun dan adab usrah seperti taaruf, tafahum dan takaful.
Almarhum pesan supaya mesti ada teks usrah. Kalau tak bawa, dia marah. Beliau pesan: “Bawa teks usrah adalah adab dalam majlis ilmu. Jadilah penuntut ilmu, bukan hanya mendengar. Hormati ilmu kerana ilmu adalah cahaya. Hormati naqib supaya dapat berkat daripada Allah. Perlu buat catatan. Catat dalam buku, bukan dalam buku nota lain. Nanti cari tak jumpa. Jadi contoh kepada sahabat.”
Mengenai persiapan usrah, beliau ajar supaya baca teks berulangkali. Apabila ada ayat al-Quran, rujuk kitab tafsir. Tengok sebab turun ayat. Apabila ada hadis, lihat sebab hadis itu disebut atau ‘sabab wurud alhadis’. Penulis kitab melihat nas yang asal dalam bahasa Arab. Ahli usrah mesti merujuk kitab lain juga.
Ahli usrah perlu ada perpustakaan/maktabah di rumah. Peruntukkan duit setiap bulan untuk membeli buku.
Lihat latar belakang pengarang. Dia tulis buku mengikut zamannya. Justeru, penting bagi ahli usrah memahami situasi. Zaman mempengaruhi tulisan. Begitu juga, ahli usrah perlu baca kandungan kitab untuk tahu isi kitab.
Mengenai tarbiah melibatkan tamrin, biasanya dibuat di markaz di Kubang Lembek. Pengisian usrah ketika itu biassnya dibuat oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi, Dato’ Harun Taib sendiri dan Dato’ Mustafa Ali yang biasa dipanggil ‘Cikgu Pa’ untuk kupasan isu semasa. Jika ada program rehlah di sesuatu tempat, almarhum datang buat pengisian sahaja. Program mukhayyam pula, ada cara tersendiri, termasuk ada giliran untuk berkawal. Qiam dibuat secara sendiri.
Dari sudut kemahiran, almarhum melatih anak buah membuat kertas kerja. Sampai kepada satu peringkat, setiap anak usrah almarhum sudah ada 6 atau 7 kertas kerja dalam dada masing-masing. Oleh itu, mudah bagi mereka untuk bercakap dalam sesuatu program jika diminta untuk bentang kerana ilmu sudah ada dalam dada.
Almarhum Dato Harun Taib menggalakkan anak buah untuk berhujah, misalnya bila berdepan dengan sebuah kumpulan lain bernama IRC. Musuh politik, jemaah biasanya kalah berdebat dengan almarhum. Uslubnya ialah: Jangan sibuk menjawab, tetapi tanya dia, mana dalil, ayat?’
Apabila anak buah sudah ada usrah, beliau menggalakkan supaya buka usrah baru. Perlu juga ada pembantu naqib.
Almarhum membiasakan anak buah menulis kertaskerja. Tiga tajuk awal dalam buku Manhaj Usrah PAS asalnya adalah kertaskerja yang ditulis oleh Haji Zainuddin dengan bimbingan almarhum Dato’ Harun Taib.
Beliau bukan sekadar naqib, tapi murabbi. Almarhum kenal kemampuan anak buahnya. Mereka ada wirid khas seperti wirid tafakkur, alwafa’ dan lain-lain.
Almarhum sangat sayang kepada PAS. Sifat berhati-hatinya/hazar mengatasi sifat bersangka baik/husnuzzan. Contohnya apa yang berlaku kepada si fulan dari kumpulan Islam lain yang kononnya menyertai PAS (tanpa menyebut nama), almarhum sebut: “Ana tak percaya anta”.
Almarhum pernah berkata: “Kalau umur anta panjang, anta akan tengok diorang akan keluar dari PAS”. Apa yang disebut benar-benar berlaku kemudiannya.
Dalam buku Durus Amal Islami, pada bab 10 atau 11, Said Hawwa menulis banyak perkara. Namun dalam penterjemahan awal buku ini, isi yang asal tidak diterjemahkan oleh penterjemah kerana barangkali tidak memberi keuntungan kepada kumpulan Islam mereka.
Menurut maklumat yang pernah diterima, pengasas Ikhwan Muslimin Mesir, Hasan AlBanna tidak membenarkan Ikhwan membuka cawangannya di luar. Ketika Hassan Al-Banna ke negara Arab Saudi, pemerintahnya ketika itu menyebut: الا ترضى ان اكون وكيلا لك؟
“Tidakkah kamu reda, aku ini menjadi wakil kamu di sini?”
Dalam buku lain, dikatakan bahawa Said Hawwa menyebut kumpulan Islam yang tidak berpolitik jangan menyanggahi kumpulan Islam yang mampu untuk berpolitik. Ertinya ini menunjukkan bahawa Gerakan Islam PAS ini benar dan mesti dibantu dan disokong.
Dalam usrah, almarhum Dato’ Harun Taib tidak sebut sangat kata-kata ulama. Beliau banyak mengambil dalil ayat Al-Quran dan hadis. Hasrat almarhum ialah untuk melahirkan ahli usrah PAS seluruh Malaysia. Oleh sebab itu, YB Ustaz Idris sebut bahawa nuqaba mesti diinstitusikan. Inilah yang almarhum mahukan iaitu nuqaba diinstitusikan.
Haji Zainuddin mengakhiri pembentangannya dengan mengungkap: “Bagaimana saya nak sebut apa yang saya dapat dalam 30 tahun, nak cerita dalam 30 minit”.
Dalam slot berikutnya, di bawah tajuk: Perjuangan Tanpa Noktah.
Dato’ Mohd Abdul Wahid Endut memulakan ucapan dengan katanya: “Saya pernah pegang jawatan untuk jaga PASTI, Pemuda, As-Sabiqun”, iaitu dari kanak-kanak, dewasa hingga tua.
Semangat almarhum Dato’ Harun Taib dan Dato’ Haji Abu Bakar Chik tidak pernah luntur.
Pernah Institut Berakan mahu dirobohkan, pelajar-pelajar sanggup duduk depan bulldozer. Drebar bulldozer menangis.
Di Lubuk Mandi, Marang pernah ada emas. Diuji dengan kebendaan. Ada orang yang lalu depan Masjid Rusila pagi Jumaat, bukan untuk hadir kuliah Duha tetapi pergi mencari emas di Lubuk Mandi.
Terengganu pernah dinafikan hak royaltinya, sedangkan perjanjian ini ada dalam perlembagaan. Wakil kerajaan negeri ketika itu pernah bertemu Presiden Petronas, Hasan Merican. Beliau juga bingung kerana PM yang arahkan pemberhentian royalti.
Kita mesti bekerja untuk mendapat kemenangan, mengisi kemenangan dan mempertahankan kemenangan.

Dato’ Yahaya Ali pula mengingatkan bahawa kita boleh mengambil sepenuhnya pengalaman orang yang sudah meninggal dunia kerana keadaan mereka sudah pasti, tidak sebagaimana orang yang masih hidup.
Beliau mengembalikan nostalgia pengalaman pada tahun 1986 ketika bertanding dalam pilihan raya di DUN Paka. Almarhum Dato’ Harun Taib bersama Ustaz Awang Nasrudin dikenali Ustaz Awang Jidin berbincang dengan Dato’ Yahaya Ali untuk menjadi calon pilihan raya, sedangkan beliau ketika itu masih bertugas sebagai pegawai kerajaan. Bukan mudah untuk berhenti kerja dan sedang menikmati hidup yang selesa. Apatah lagi biasanya calon pilihan raya dari PAS ini sering kali kalah. Perbincangan ini berlaku dalam kereta sambil pusing-pusing sekitar bandar Kuala Terengganu. Ini antara bentuk tarbiah yang didapati dalam PAS.
Dato’ Yahaya menjelaskan kebetulan beliau ketika itu masih muda, ada pengalaman pentadbiran, memahami isu sekeliling, maka siapa lagi yang akan membantu PAS kalau tidak beliau. Allah menakdirkan beliau tidak menang dalam pilihan raya itu.
Lepas kalah pilihan raya, beliau buat kerja dalam jemaah. Setiap minggu, Selasa malam Rabu, diadakan usrah dengan almarhum. Dato’ Yahaya menyifatkan almarhum seorang yang sangat berilmu. Walaupun almarhum belum sempat mengambil PhD, tetapi ilmunya sudah hebat.
Almarhum selalu bercakap tentang perjuangan. Asasnya adalah tarbiah. PAS boleh bertahan mulai tahun 1951 hingga sekarang, antaranya ialah kerana ada sistem tarbiah.
Kekuatan dalaman mesti dipupuk melalui tarbiah. Almarhum sentiasa membaca ayat al-Quran, hadis dan buku-buku.
Almarhum mengkaderkan ahli, serta didedahkan kepada dunia yang lebih luas. Almarhum pernah bertemu pelajar di UK untuk berforum. Fokus beliau ialah mengapa perlu pilih PAS dan penerangan mengenai ciri-ciri jemaah Islam.
Ahli PAS yang ditarbiah perlu mentarbiah pula, dan mencintai perjuangan.
Sumbangan almarhum sangat banyak sebenarnya. Beliau sibuk mentarbiah ahli, termasuk kepada para pelajar. Kepimpinan kampus masa itu dikuasai oleh aliran PAS.
Almarhum selalu sebut tentang perjuangan PAS ini adalah perjuangan secara damai/muwajahah silmiyyah. Perjuangan ini pula panjang. Justeru, jangan gopoh. Kuatkan aspek tarbiah.
Di zaman almarhumlah dianggap bermula kuatnya tarbiah dalam PAS. Mulai dari kepimpinan Dato’ Asri Muda, Haji Yusof Rawa dan seterusnya.
Kekuatan tarbiah biarlah berkembang. Cari/tackle orang baru.
Almarhum banyak menulis buku. Contohnya mengenai berbilang jemaah. Beliau menyebut: “Kalau jemaah Islam lain tidak berkecimpung dalam pilihan raya, apabila tiba musim pilihan raya, maka kumpulan Islam lain mesti menyokong PAS”.
Almarhum boleh tahu orang yang tidak jujur dalam perjuangan. Kadang-kadang sifat baik sangka kita menyebabkan ahli kita ditarik oleh jemaah lain. Almarhum kenal mereka ini.
Sebagai ahli politik, wibawanya tinggi. Walaupun nampak bengkeng dan tegas tetapi boleh bergaul dengan semua orang. Contohnya apabila berlaku pilihan raya kecil di Teluk Pasu, beliau boleh menang.
Dalam sidang DUN, beliau membuat persiapan. Beliau mengkritik apa yang tidak betul, tetapi juga memberi jawapan dan penyelesaian. Sebagai Exco pula, beliau bekerja.
Konsep kepimpinan ulama, antaranya ialah memprofesionalkan ulama dan sebaliknya. Almarhum adalah ulama, juga pentadbir yang faham tentang sistem pentadbiran. Beliau pernah menjadi Pengerusi GLC. Contohnya menjadi Pengerusi TDM.
Profesional dalam PAS juga mesti memahami agama.
Dalam ucapan perasmian penutup Seminar Pemikiran Dakwah Tuan Guru Dato’ Haji Harun Taib, YB Dato’ Ustaz Md Nor Hamzah menyebut bahawa legasi yang ditinggalkan oleh almarhum ialah dalam bidang tarbiah. Madrasah DAR yang dibina, kini sudah sangat kukuh. YB Dato’ Ustaz Mohd Nor mencadangkan Maahad Darul Quran dan KUDQI boleh menubuhkan Yayasan Pemikiran Harun Taib. Mereka yang berada di DAR, KUDQI lebih tahu tentang semua bentuk perjuangan ini. Beliau mengakhiri seminar ini dengan membaca ayat al-Quran:
مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ رِجَالٌ صَدَقُوْا مَا عَاهَدُوا اللّٰهَ عَلَيْهِ ۚ فَمِنْهُمْ مَّنْ قَضٰى نَحْبَهٗۙ وَمِنْهُمْ مَّنْ يَّنْتَظِرُ ۖوَمَا بَدَّلُوْا تَبْدِيْلًاۙ
Maksudnya: “Di antara orang mukmin itu ada orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya)”. (Al-Ahzab: 23). – HARAKAHDAILY 21/6/2023











