
GABUNGAN Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mempersoal siri jelajah kampus yang dijalankan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang seolah-olah bersifat kempen politik percuma apatah lagi apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal berlangsung tidak lama lagi.
GAMIS meragui tujuan PMX turun ke kampus-kampus. Mengapa PMX yang juga Menteri Kewangan ingin menambah lagi bebanan beliau dengan inisiatif ini? Bukankah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) lebih dekat portfolionya dengan universiti?
Sekiranya tindakan PMX ini tulus untuk mendengar dan menyelesaikan kemelut mahasiswa, GAMIS tidak teragak-agak memberikan sokongan.
Namun yang dapat diamati, isi ucapan beliau banyak berbaur sindiran dan berunsur kempen ke arah satu pihak.
Malah, apabila disoal berkenaan dasar dan pelan kerajaan terhadap krisis kebolehpasaran graduan, PMX lebih memfokuskan jawapan kepada serangan terhadap pihak-pihak tertentu berbanding mengurangkan keresahan mahasiswa.
Justeru, bertepatan dengan slogan “Malaysia Madani”, GAMIS menuntut kerajaan untuk memperhalus dan memperjelas semula tujuan inisiatif ini yang seharusnya bermatlamatkan impak yang signifikan terutamanya kepada pembangunan sosial mahasiswa dan kesenjangan pasaran kerja.
Selain itu, sebarang cubaan penggunaan aset dan dana kerajaan untuk membawa agenda parti politik perlu dihentikan segera.
GAMIS dengan ini menyeru warga universiti untuk memainkan peranan sebagai rakyat demokratik dalam menjadi penyemak imbang bagi memastikan inisiatif kerajaan seperti siri jelajah kampus ini tidak dijadi kan sebagai alat politik semata-mata.
“Mengungguli Gerakan Mahasiswa”
WAN MUHAMMAD ARIF WAN BAZLI FARIZ
Presiden GAMIS
Bertarikh: 21 Jun 2023 I 2 Zulhijah 1444 – HARAKAHDAILY 21/6/2023











