Ke mana 1.2 juta warga China pergi?

Senator Hussin Ismail
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Hussin Ismail meminta kerajaan meneliti laporan sebuah portal berita tempatan yang menyatakan bahawa lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh antara 2018 hingga 2021.

Berdasarkan laporan itu, katanya rekod Kementerian Dalam Negeri (KDN) menunjukkan seramai 7,177,043 orang warga China tiba ke Malaysia bagi tempoh tersebut.

- Advertisement -

“Warga yang masuk ke negeri ini, khususnya dari Tanah Besar China 2018 hingga 2021, seramai 7,177,043 orang, yang keluar 5,954,765 orang, manakala yang tidak keluar seramai 1,222,278 orang.

“Tetapi menteri tadi sebut (ketika menjawab soalan asal) 4,000 yang sudah ditangkap. Sebahagian pula sekitar 17,000 wanita China mengikut laporan Astro Awani pada 21 Mac 2016 dikatakan berkahwin dengan warga tempatan, manakala antara 2018 hingga 2021, seramai 2,960 orang juga telah direkodkan berkahwin.

“Apa tindakan seterusnya terhadap perkara yang dimaksudkan ini,” katanya mengemukakan soalan tambahan ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya tidak mempunyai data lengkap mengenai perkara dibangkitkan dan akan memberikan jawapan secara bertulis.

Namun, katanya kerajaan sentiasa memastikan kemasukan dan keberadaan mana-mana warga asing yang berada dalam negara ini mesti mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Mana-mana pihak yang melanggar peraturan tersebut, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan.

“Sebagai maklumat tambahan, operasi yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) data dari Januari hingga 15 Jun tahun ini, seramai 96 orang warga China telah ditangkap dan kita telah usir semula mereka ke negara asal seramai 146 orang,” katanya.

Mengikut soalan asal, Hussin meminta KDN menyatakan usaha kerajaan dalam mengatasi isu pelancong yang tidak keluar dari Malaysia setelah tamat visa pelancong serta bilangan kes yang telah disiasat berhubung dengan kewujudan unsur jenayah rasuah dan salah laku sepanjang proses kemasukan ke Malaysia. – HARAKAHDAILY 21/6/2023.

- Advertisement -