
KUALA LUMPUR: Senator Mohd Apandi Mohamad, mencadangkan kerajaan memasukkan kisah Nabi Ayub AS dalam silibus pembelajaran di sekolah supaya rakyat sentiasa sabar ketika menghadapi ujian hidup.
Menurut beberapa riwayat yang disebut di dalam beberapa kitab-kitab tafsir seperti Ibnu Kathir dan lain-lain, Nabi Ayub AS telah ditimpa penyakit yang begitu berat dan lama sehingga 18 tahun.
Bahkan menurut sesetengah ulamak tafsir menghuraikan perkataan ‘Ad-Durru’ (الضر ) itu membawa maksud keadaan yang buruk pada tiga perkara iaitu pada badan, ahli keluarga dan harta.
Mohd Apandi berkata, ini kerana masih ramai lagi rakyat menjadikan perbuatan bunuh diri sebagai penyelesaian apabila gagal dalam sesuatu perkara.
“Orang yang bercita-cita atau berazam untuk bunuh diri kerana faktor-faktor tertentu (seperti sakit), maka pada (pindaan) undang-undang ini dibebaskan dan dinyahkan sebagai penjenayah mengikut (pindaan) Kanun Keseksaan yang baharu.
“Dalam Islam, hukuman kepada mereka yang membunuh diri ini besar, sehinggakan dalam banyak-banyak fiqh Islam pun, apabila ada orang Islam yang bunuh diri, mereka tidak mensolatkan solat jenazah dia.
“Oleh demikian, kita tidak boleh berputus asa dengan apa yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada kita kerana yang menciptakan kita adalah Allah SWT. Dia (Allah SWT) tahu keupayaan dan kemampuan kita,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) di Dewan Negara, hari ini.
Mohd Apandi berkata, kerajaan juga perlu memberi penekanan kepada rakyat, terutama di peringkat kanak-kanak berhubung besarnya kesan bunuh diri terhadap keluarga dan negara. – HARAKAHDAILY 20/6/2023




















