Henti pertemuan di universiti, fokus isu kesusahan rakyat

Gesaan kepada Perdana Menteri

- Advertisement -

GENAP 7 bulan pakatan dimeterai antara Pakatan Harapan dan Umno, namun keluarga yang pendapatannya miskin dan sederhana terus terkesan dengan harga barang dan makanan yang mahal, serta jumlah bayaran hutang kepada bank yang semakin besar.

Hari ini, bajet kewangan sesebuah keluarga semakin ketat dan mengecil. Jika dahulunya mungkin masih mampu menabung untuk membawa keluarga balik kampung atau pergi melancong, kini mungkin tidak lagi.

Walaupun akhbar-akhbar melaporkan bagaimana menteri-menteri yang berkaitan melakukan pelbagai inisiatif untuk menyelesaikan masalah ekonomi, sehingga hari ini rakyat tetap tidak yakin bagaimana Kerajaan Madani mahu menyantuni isu-isu kesusahan hidup dan keluh-kesah rakyat.

Apa yang lebih menyebabkan rakyat tertekan, kerajaan hari ini seolah-olah tidak menunjukkan empati kepada rakyat yang kemampuan kewangannya semakin menyusut disebabkan oleh Ringgit yang jatuh, kadar inflasi dan isu gaji yang ‘stagnant’ atau tidak berubah.

Ahli Parlimen di pihak pembangkang juga masih dinafikan hak mereka untuk mendapat peruntukan yang boleh digunakan untuk membantu meringankan beban rakyat di kawasan masing-masing.

Dalam pada itu, Perdana Menteri dilihat aktif menghadiri sesi-sesi pertemuan bersama mahasiswa di premis-premis universiti seluruh negara.

Dalam program Temu Anwar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok baru-baru ini, Perdana Menteri ada mengatakan bahawa beliau akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada Rabu ini berhubung langkah memberi kelonggaran bagi penganjuran konsert di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Kenyataan yang diberikan itu adalah susulan daripada soalan mengenai video tular melibatkan pelajar lelaki dan perempuan sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam di Terengganu yang menari ketika menyaksikan persembahan nyanyian oleh sebuah kumpulan.

Hal ini sepatutnya boleh diambil perhatian dan diselesaikan di antara pihak-pihak yang berkaitan. Terengganu misalnya, sudah lama mengeluarkan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu yang boleh dijadikan rujukan untuk pihak pengurusan universiti. Ia tidak memerlukan kepada mana-mana strategi dan formula yang baru.

Saya menyarankan agar Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Malaysia memberi tumpuan sepenuhnya terhadap keadaan ekonomi negara pada ketika ini. Program-program pertemuan bersama mahasiswa tidak sepatutnya menjadi prioriti seorang Perdana Menteri pada ketika ini, apatah lagi ia boleh dilihat orang ramai sebagai program kempen politik secara terbuka di universiti, yang diadakan bertujuan untuk mempengaruhi undi anak muda menjelang Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi.

Pengundi muda turut merasai kesusahan yang dilalui oleh keluarga mereka. Mereka boleh menilai sendiri kredibiliti dan prestasi kerajaan hari ini menyelesaikan masalah ekonomi negara, tanpa perlu kepada pertemuan demi pertemuan yang diatur bersama Perdana Menteri.

“Malaysia Sejahtera”

DATUK CHE MOHAMAD ZULKIFLY JUSOH
Ahli Parlimen Besut
20 Jun 2023 / 1 Zulhijjah 1444 H – HARAKAHDAILY 20/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -