Paya Bunga Hotel menang ‘Best City Hotel’

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Paya Bunga Hotel (PB Hotel) Terengganu sekali lagi mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila dipilih oleh International Travel Award sebagai pemenang bagi kategori ‘Best City Hotel’.

- Advertisement -

Penyampaian anugerah tersebut telah diadakan di Waldorf Astoria Palm, Jumeirah, Dubai pada 17 Jun lalu.

Ia melibatkan penyertaan 4,000 pemain industri hospitaliti dan pelancongan dari 70 buah negara dalam pelbagai kategori yang telah dipertandingkan.

PB Hotel telah diwakili oleh Ketua Pegawai Korporat PMINT, Mohd Anuar Abdullah, Pengurus Besar PB Hotel, Abdul Hadi Alias serta dua orang lagi dari pasukan pengurusan kanan.

“Kami mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Menteri Besar Negeri Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan pimpinan Kerajaan Negeri Terengganu kerana telah banyak memberi sokongan dan dorongan kepada PB Hotel hingga mencapai ke tahap ini.

“Semoga anugerah ini dapat menyuntik semangat warga kerja PB Hotel untuk terus berusaha memberikan perkhidmatan dan komitmen yang terbaik kepada setiap pelanggan yang berkunjung ke PB Hotel,” kata Abdul Hadi.

Katanya, PB Hotel yakin anugerah itu juga merupakan antara faktor para pelanggan menjadikan hotel itu sebagai destinasi pilihan penginapan utama apabila bercuti serta berkunjung ke Kuala Terengganu.

Menurutnya, delegasi PB Hotel telah mendapat undangan khas sebagai tetamu istimewa daripada Pengerusi Dubai Traveller Festival, Sheikh Awad Mohamad Mejren di istana beliau bagi sesi minum petang dan kenal mesra.

“Antara yang menarik dalam sesi perbincangan itu, Sheikh Awad Mohamad Mejren mempelawa delegasi kami untuk menerokai peluang di Dubai serta menyatakan hasrat beliau untuk meneroka peluang dagang di Malaysia dalam industri minyak dan gas serta kewangan,” ujarnya.

Selain PB Hotel, sebuah lagi hotel dari Malaysia, The Granite Luxury Hotel Penang yang merupakan hotel di bawah MSummit Group turut terpilih sebagai pemenang bagi kategori The Best Design Hotel. – HARAKAHDAILY 20/6/2023

- Advertisement -