Influencer Muslimah muda perlu berani, lebih kreatif

Ustazah Asmak Husin (depan, tengah) dalam program bual bicara Influencer Muslimah, Trend Dakwah Anak Muda di Seri Ar- Raudhah, Sandakan, Sabah pada 18 Jun 2023
- Advertisement -

SANDAKAN: Muslimat muda disarankan agar berani ke hadapan sebagai pempengaruh (influencer) dan perlu lebih kreatif dalam menyediakan konten di platform media sosial.

- Advertisement -

Pendakwah bebas yang juga terkenal sebagai pempengaruh televisyen suatu ketika dulu dalam rancangan, Tanyalah Ustazah di TV9, Ustazah Asmak Husin  berkata, menyedari bahawa sekarang ini peranan pempengaruh adalah sangat penting dalam medan dakwah dan siasah,  maka muslimat muda mesti mengambil peluang dan memanfaatkan medium media sosial ini  agar menjadi pempengaruh dakwah yang juga salah satu inisiatif muslimat dalam amal makruf nahi mungkar.

Beliau  berkata demikian dalam program bual bicara berjudul, Influencer Muslimah, Trend Dakwah Anak Muda di Seri Ar- Raudhah, di sini, semalam.

Ustazah Asmak yang juga Penaung badan bukan kerajaan (NGO), Ikhtiar Insan Care (IIC) berada di Sandakan, Sabah sempena program Jelajah Prihatin Ustazah Asmak Husin selama tiga hari dari 16 hingga 18 Jun 2023.

“Dakwah hari ini tidak boleh berada  di takuk yang lama, malah muslimat mesti ambil cabaran bersedia belajar perkara baru, dan menyediakan konten yang kreatif supaya boleh menarik peminat dan ‘engagement’ (liputan) yang ramai (meluas),” katanya.

Tambahnya, Muslimat juga perlu  peka dengan  isu semasa dan boleh cepat mengulas isu mengikut disiplin ilmu yang ada supaya tidak tersasar dari segi ulasan, sebab itu muslimat mesti ada ‘team’ untuk membuat kajian dalam menjawab isu.

“Muslimat juga mesti fokus dengan satu atau dua tajuk perbincangan sahaja supaya masyarakat akan mengenal influencer dengan tajuk fokus yang biasa dibawa oleh influencer berkenaan

“Gunakan medium media sosial tertentu dengan umur tertentu supaya lebih berimpak kesan sebaran dakwah dan kena pada sasaran.”

“Muslimat juga di nasihatkan perlu kerja ‘smart’, jangan bertangguh, mesti pandai mengurus masa dengan baik dan pandai buat marketing untuk diri sendiri dalam media sosial,”  jelasnya.

Terdahulu, Ketua Ameerah Batu Sapi, yang juga Pengarah program Nurul Husna Md Jani dalam ucapan beliau meminta supaya Muslimat yang hadir dapat memahami dan memanfaatkan ilmu yang diberi sebagai salah satu usaha yang boleh di buat oleh Muslimat muda dalam menyampaikan dakwah di zaman teknologi moden ketika ini.

Program bual bicara yang dianjurkan sepenuhnya oleh Ameerah Batu Sapi dengan kehadiran Nusaibah itu berakhir dengan pemberian 50 pek sumbangan barangan dapur dari NGO IIC dan Untukmu Sandakan kepada semua Muslimat yang hadir. – HARAKAHDAILY 19/6/2023

- Advertisement -