
KUALA LUMPUR: Program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun merupakan inisiatif baharu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan kerjasama jabatan/agensi di bawah KPKM bagi meningkatkan hasil padi dan pendapatan pesawah.
KPKM berkata, pada masa ini penanaman padi di Malaysia dilaksanakan secara dua musim setahun di kawasan jelapang dan sekali setahun di kawasan luar jelapang.
Menurutnya, antara langkah yang telah dilaksanakan oleh pihak kementerian bagi menyokong dasar penanaman padi lima musim dalam dua tahun itu adalah dengan melaksanakan projek rintis dengan kerjasama jabatan pertanian, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) di tiga kawasan dalam dan luar jelapang seluas 517 hektar melibatkan 345 orang pesawah.
Katanya, sembilan kawasan itu di bawah seliaan MADA melibatkan tiga wilayah iaitu Kangar, Jitra dan Pendang manakala Kuala Muda di bawah seliaan Jabatan Pertanian Kedah dan Bota Kiri di bawah seliaan BERNAS.
“Hasil projek rintis ini akan membantu kerajaan dalam mengenalpasti isu serta cadangan penambahbaikan bagi pelaksanaan program lima musim dalam tempoh dua tahun untuk diperluaskan ke kawasan-kawasan lain,” ujar kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman [PN-Sik] di Dewan Rakyat, semalam.
Menerusi soalannya, Ahmad Tarmizi meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan langkah yang telah dilaksanakan oleh pihak kementerian bagi melaksanakan program penanaman padi lima kali dua tahun bagi menambahkan lagi SSR beras negara ke tahap 100%. – HARAKAHDAILY 16/6/2023




















