
KUALA LUMPUR: Desakan RSN Rayer (PH-Jelutong) supaya Dato’ Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) menarik balik kenyataannya mengenai kerajaan Pulau Pinang tidak menjadi apabila Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak bersetuju dengan hujahnya.
Alice Lau Kiong Yieng berkata, Peraturan 36(6) yang dijadikan sebagai panduan oleh Rayer tidak boleh digunakan untuk bertindak terhadap Wan Saiful.
Sebelum itu, ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, Wan Saiful berkata: “Kalau nak diharapkan kerajaan negeri (Pulau Pinang), saya rasa setakat ini ‘confirm’ gagal. Jadi, apakah jaminan diberikan oleh pihak Persekutuan untuk menyelesaikan masalah ini.”
Beliau berkata demikian ketika membangkitkan isu pencemaran sisa pentenakan babi di Kampung Selamat yang dibuang ke Sungai Kereh di Tasik Gelugor, Pulau Pinang.
Alice berkata, Wan Saiful tidak merujuk kepada mana-mana Ahli Parlimen kerana Peraturan 36(6) hanya terpakai kepada Ahli Parlimen dan bukannya pihak lain.
Peraturan 36(6) menetapkan Ahli Parlimen tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas mana-mana Ahli Parlimen lain.
Rayer yang membantah menyifatkan kenyataan Wan Saiful tidak adil, namun Alice tidak melayan desakan Ahli Parlimen Jelutong.
Sebelum itu, Wan Saiful berkata pencemaran tersebut menghantui penduduk sekitar sejak kira-kira 40 tahun lalu, hidup dalam suasana busuk akibat aktiviti itu.
Beliau berkata, pada era kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) sahaja memperlihatkan ada inisiatif bagi melakukan penyelesaian, selepas kegagalan kerajaan negeri menangani pencemaran tersebut.
“Masalah ini sudah berlanjutan berpuluh tahun lamanya, ada sedikit sinar semasa (Ahli Parlimen) Kubang Kerian menjadi menteri yang bertanggungjawab menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Sementara itu Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dato’ Seri Huang Tiong Sii ketika menjawab berkata, kerajaan memandang serius kejadian itu.
Malah, katanya Jabatan Alam Sekitar sentiasa membuat pemantauan rapi dan pencemaran itu menjadi agenda penting dalam setiap mesyuarat penting di peringkat kemeterian.
“Kita sentiasa peka dengan isu pencemaran alam sekitar, terutamanya pencemaran sungai. Bagi isu ini, kita ada membuat pemantauan rapi dan telah dibincangkan dalam mesyuarat utama kementerian.
“Perkara ini juga akan dibincangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Sumber Air Negara tahun ini yang dijangka diadakan pada 14 Julai depan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2023




















