PATI makin berani ceroboh tanah kerajaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Zahari Kechik (PN-Jeli) melahirkan kebimbangannya terhadap keberanian Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) membina penempatan di tanah kerajaan.

- Advertisement -

Malah, katanya bilangan PATI semakin meningkat walaupun operasi giat dilakukan oleh kerajaan.

“Di penempatan itu, dilaporkan terdapat kemudahan asas seolah-olah mereka ingin tinggal secara tetap di tanah kerajaan.

“Soalan saya, mengapakah nampak begitu lemah penguatkuasaan oleh pihak kerajaan. Adakah kerana kita kekurangan tenaga penguatkuasa atau penguatkuasaan tidak meliputi semua agensi seperti PBT, PTG atau pihak berkuasa negeri yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab persoalan ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, fokus utama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) adalah premis yang menggaji PATI.

Menurutnya, pencerobohan tanah kerajaan adalah di bawah bidang kuasa agensi berkaitan seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Tanah dan Galian atau Jabatan Perhutanan dan pemilik tanah berkenaan.

Bagaimanapun, katanya Kementerian Dalam Negeri tetap menjalankan operasi penguakuasaan dari semasa ke semasa.

“JIM juga beroperasi di tanah kerajaan dan kita sentiasa akan bertindak proaktif. Malah, jika tidak ada laporan pun, jika kita syak pencerobohan berlaku dan ada PATI, kita akan melakukan operasi secara bersama dengan agensi kerajaan lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2023

- Advertisement -