Tuduhan kerajaan guris hati barisan hadapan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Radzi Jidin (PN-Putrajaya) meminta kerajaan berhati-hati mengeluarkan kenyataan, termasuk menuduh pembangkang melakukan penyelewengan dalam pengurusan perolehan vaksin Covid-19.

- Advertisement -

Beliau bimbang tindakan tersebut mengguris perasaan pengamal perubatan yang menjadi barisan hadapan ketika berdepan peningkatan jumlah mangsa dan kematian akibat wabak itu.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan bagi memberi gambaran tidak baik kepada kerajaan lalu, PERIKATAN NASIONAL (PN) menjaga rakyat ketika pandemik Covid-19.

“Saya ingin menyampaikan rasa sedih pegawai-pegawai kesihatan di Putrajaya, mereka berjumpa dan menceritakan apabila selesai pandemik Covid-19, macam-macam disiasat.

“Sedangkan bagi mereka, ada yang menangis pada waktu susah tersebut, waktu mayat bergelimpangan, mereka inilah yang berada di depan tanpa memikirkan hal lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Kertas Putih Pengurusan Perolehan Vaksin Covid-19 di Dewan Rakyat, hari ini.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menegaskan kerajaan pimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, komited menjaga kesihatan rakyat.

Kerajaan ketika itu, katanya perlu membuat keputusan segera untuk menghadapi peningkatan kematian rakyat akibat penularan wabak itu dan ia merupakan tempoh sangat sukar dalam sejarah negara.

“Kita beli vaksin mencukupi, jika pandemik ini berterusan vaksin ini ada tersedia, namun begitu apa berlaku, ekonomi mula dibuka rakyat telah boleh bergerak tanpa memerlukan kad vaksin.

“Maka permintaan vaksin dos penggalak berkurangan, tetapi apa yang kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin lakukan telah berjaya membawa negara keluar dari pandemik ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/6/2023

- Advertisement -