
KUALA LUMPUR: Keadaan jalan raya berlubang di kawasan Gua Musang menyebabkan Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) meminta kerajaan memberi perhatian terhadap masalah itu.
Malah, katanya antara faktor kemalangan jalan raya meningkat adalah akibat keadaan jalan raya berlubang.
Katanya, jaringan jalan raya antara bandar Gua Musang ke bandar lain mempunyai terlalu banyak lubang menyebabkan bahaya kepada kenderaan ringan.
“Saya pernah melihat kerja-kerja penampalan dibuat, tetapi kalau Timbalan Menteri beritahu mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan, kita juga dapat info, kerja penampalan hanya dilakukan oleh dua atau tiga kontraktor sahaja tanpa pemantauan jabatan atau agensi terlibat.
“Jadi soalan saya, sejauh manakah pemantauan kualiti kerja penampalan jalan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan kontraktor memenuhi spesifikasi yang ditetapkan?
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, kerajaan menghadapi kekangan dari segi kewangan dan teknikal bagi mengatasi masalah jalan berlubang.
“Kita sebenarnya terpaksa melaksanakan (mengatasi jalan berlubang) yang banyak di seluruh negara, tidak sekadar di Gua Musang, malah di Lipis, Kuala Krai dan sebagainya.
“Namun dengan kekangan kewangan yang kita ada, hanya lebih kurang satu per empat atau 25 peratus daripada permohonan yang kita dapat melalui Kementerian Kewangan,” katanya.
Beliau berkata, masalah dari segi teknikal membabitkan isu berat kenderaan yang melalui kawasan tersebut.
“Bahagian dasar jalan raya yang tidak kuat menyebabkan dalam tempoh masa pendek jalan berlubang itu akan kembali merebak menjadi lebih besar,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/6/2023




















