Awasi isu bertentangan kerhamonian negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) membangkitkan persoalan mengenai langkah kerajaan mengawal perfileman yang melibatkan isu agama serta budaya timur negara ini.

- Advertisement -

Menurutnya, industri perfileman perlu menghormati dan memahami kepelbagaian budaya serta Islam sebagai agama Persekutuan.

Beliau turut mempersoalkan cara kerajaan mengukur kesan dan keberkesanan langkah mengawal isu-isu sensitif dalam industri perfileman.

“Apakah perlu setiap karya yang dihasilkan oleh industri perfileman melibatkan agama dan kaum dirujuk kepada Kementerian Perpaduan Negara bagi proses penapisan sebelum dikeluarkan kepada umum?” katanya bertanyakan soalan tambahan ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Anak Dagang, berkata kementeriannya tidak terlibat dalam industri perfileman, tetapi tetap membuat pemantauan berkaitan isu yang bertentangan dengan keharmonian di peringkat komuniti.

“Kalau memang akan membawa perpecahan, kita akan membuat dialog atau perbincangan, Kalau masalah itu lebih ketara, kita akan mengadakan mediasi dan Jabatan Perpaduan Negara di peringkat komuniti kita ada mediator komuniti,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa rujukan selebihnya boleh dibawa ke agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). – HARAKAHDAILY 12/6/2023

- Advertisement -