Memorandum: Isu gangguan bekalan air Pahang

- Advertisement -

AIR merupakan keperluan asas bagi rakyat. Sebuah kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab wajib mengurus dan menyelesaikan dengan baik isu keperluan asas terutama isu bekalan air ini.

- Advertisement -

Pahang terkenal sebagai sebuah negeri yang mempunyai sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia tetapi masih mempunyai masalah bekalan air yang tidak diselesaikan secara tuntas oleh kerajaan yang memerintah atas alasan yang munasabah.

Menjelang Syawal tahun 2023 ini, Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang menerima pelbagai rungutan, rintihan serta tuntutan daripada rakyat mengenai isu air yang tidak pernah selesai. Tambahan, ada juga segelintir rakyat yang meluahkan aduan mereka melalui laman-laman media sosial terutama semasa musim perayaan baru-baru ini.

Rakyat bukan tidak boleh bertoleransi jika pelan pemulihan isu air dilaksanakan dengan efektif dan berkesan, tetapi alasan yang diberikan membuatkan rakyat cukup kecewa seterusnya membangkitkan kemarahan rakyat untuk menyambut Aidilfitri baru-baru ini.

Tuntutan Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang menuntut tiga penjelasan daripada Kerajaan Negeri Pahang seperti berikut:

1. Apakah pelan strategi Pengurusan Pahang Air Berhad dalam menyelesaikan isu air ini yang masih berlarutan saban tahun dan apa jaminan keberjayaannya?

2. Apakah punca Pengurusan Air Pahang Berhad mengalami kerugian pada tahun 2021 sebanyak RM128,982,890 iaitu peningkatan kerugian sebanyak RM8,542,977 daripada tahun 2020 dan telah mencatatkan kerugian terkumpul setakat 31 Disember 2021 iaitu sebanyak RM934,842,638? Apakah akah pelan strategi bagi memulihkan kewangan Pengurusan Air Pahang Berhad?

3. Adakah peningkatan hutang dagangan sejumlah RM299,691,441 sepanjang tempoh 3 tahun bermula 2019 hingga 2021 ini merupakan antara punca masalah air di Pahang berlarutan? Apakah pelan pemulihan hutang yang telah dirangka oleh pihak kerajaan bagi membantu Pengurusan Air Pahang Berhad?

Cadangan solusi

Beberapa solusi berkaitan isu ini kami kemukakan untuk perhatian dan pertimbangan segera pihak berwajib iaitu:

i. Menyegerakan projek penambahbaikan paip dan penggantian aset

ii. Memastikan projek-projek naik taraf infrastruktur bekalan air seperti loji rawatan air dan tangka (reservoir) dilaksanakan segera terutama di lokaliti berisiko berlakunya gangguan air bagi tujuan menampung permintaan dan juga menjamin bekalan air mencukupi kepada rakyat

iii. Memastikan keupayaan tahap pencapaian perkhidmatan PAIP dipertingkatkan dengan kadar segera

iv. Menyediakan dan mempercepat pelaksanaan pelan pemulihan kewangan PAIP terutama berkaitan isu-isu hutang dagangan.

Kesimpulan

Akhir kata, sekali lagi Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang tegaskan bahawa isu ini sedang membelenggu rakyat negeri Pahang. Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang berharap agar pihak Pengurusan Air Berhad Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang dapat bertindak segera menyelesaikan masalah air yang saban tahun berlaku ini. Jadilah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Terima kasih atas perhatian sewajarnya daripada pihak tuan/puan.

Disediakan oleh:
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PAHANG
8 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 9/5/2023

- Advertisement -