
KUANTAN: Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai peruntukan kepada pembangkang, semalam telah diambil oleh semua media utama.
Justeru, beliau selaku Ketua Pembangkang mengharapkan kerajaan negeri dapat melaksanakan hasrat Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah tersebut.
Beliau menyatakan demikian semasa membahaskan Titah Diraja pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dalam titah baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN semalam, antaranya menitahkan kerajaan negeri memberikan peruntukan adil kepada ADUN pembangkang.
Menurut baginda, hampir 66 tahun merdeka landskap politik perlu berubah.
Titah baginda, 66 tahun itu sepatutnya telah matang dan yang menjadi kerajaan meraikan pembangkang kerana mereka juga telah dipilih oleh rakyat.
“Peruntukan yang adil perlu diberikan kepada mereka juga,” titah baginda.
Tuan Ibrahim mengulangi ucapan penghargaan dan menjunjung kasih kepada baginda yang telah menyentuh berkenaan peruntukan kepada Adun pembangkang.
“Hampr semua media utama mengambik topik ini sebagai topik utama, bermakna bahawa titah tuanku disambut oleh sebahagian besar media perdana.
“Jadi, kita harapkan kerajaan negeri dapat laksanakan hasrat tuanku,” ujarnya yang juga Adun Cheka.
Beliau juga berkata, persidangan DUN Pahang kali ini adalah pertama dalam sejarah yang mencatatkan jumlah pembangkang yang paling besar iaitu seramai 17 orang.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada para pengundi yang telah memilih wakil daripada PERIKATAN NASIONAL.
“Apa yang penting kami memberi komitmen untuk menjadi pembangkang yang konstruktif, pembangkang yang membina, turut mencadangkan beberapa cadangan yang baik bagi pembangunan negeri Pahang.
“Kita tidak akan jadi pembangkang yang membangkang kerajaan tapi dalam waktu yang sama kita perlu ada check and balance dalam pembangunan negeri Pahang,” katanya yang juga Timbalan Presiden PAS. – HARAKAHDAILY 9/5/2023











