Memorandum isu air dibawa ke sidang Dun Pahang

Mohd Zarimi (tiga dari kiri) menyerahkan memorandum isu gangguan bekalan air kepada Tuan Ibrahim di Wisma Sri Pahang, semalam.
- Advertisement -

KUANTAN: Pemuda PAS Pahang mengemukakan memorandum isu air yang berlaku di negeri ini kepada Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk diusulkan ke dalam persidangan DUN yang sedang berlangsung sehingga Jumaat ini.

- Advertisement -

Ketuanya, Mohd Zarimi Abu Zih menjelaskan memorandum itu dibuat ekoran gangguan bekalan air saban tahun berlaku hampir di semua daerah di negeri ini.

Beliau juga mahu kerajaan negeri memberi penjelasan dan langkah penyelesaian terhadap isu itu.

“Kita juga mahu mendapat penjelasan daripada kerajaan negeri berhubung kerugian yang dialami Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

“Atas sebab itu, kita minta Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) PN bawa isu itu pada sidang DUN yang sedang berlangsung untuk perhatian dan tindakan daripada kerajaan negeri agar masalah air yang berlaku dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media selepas menyerahkan memorandum ini kepada Adun PN yang diketuai Adun Cheka, Tuan Ibrahim di Wisma Sri Pahang di sini, semalam.

Hadir sama, Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Rosli Abdul Jabar, timbalannya, Andansura Rabu, ketua penerangan, Ahmad Tarmizi Yahaya dan beberapa Adun daripada PN.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang merupakan Timbalan Presiden PAS berkata, memorandum yang diserahkan itu adalah aduan yang dikumpul berkaitan masalah air yang diterima daripada rakyat di seluruh negeri.

Katanya, masalah itu akan dibawa ke perhatian kerajaan negeri bagi langkah penyelesaian daripada pihaknya.

“Dalam memorandum ini, banyak masalah utama yang disenaraikan termasuk loji-loji rawatan air lama yang perlu dinaik taraf, isu gangguan bekalan air, kes-kes paip pecah dan sebagainya.

“Perkara ini, sebenarnya perlukan perhatian dan tindakan kerajaan negeri supaya masalah gangguan bekalan air yang berlaku dapat diselesaikan.,” ujar beliau.

Tuan Ibrahim juga meminta kerajaan negeri supaya mewartakan kawasan tadahan air sebagai hutan simpan kekal.

“Ini, bagi memastikan sumber bekalan air tidak terjejas disebabkan aktiviti penerokaan untuk tujuan pembalakan, pelombongan dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/5/2023

- Advertisement -