TH teruskan Bantuan Kewangan Haji

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) akan meneruskan mekanisme Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) secara bersasar untuk musim haji 2023 dan tahun-tahun berikut dengan mengambil kira tahap kemampuan kewangan seseorang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata bermula tahun lalu, TH melaksanakan mekanisme HAFIS secara bersasar dengan Bayaran Haji jemaah Muassasah dalam Kumpulan B40 dinaikkan kepada RM10,980.

- Advertisement -

Katanya, bagi Kumpulan Bukan B40, bayaran haji dinaikkan kepada RM12,980 seorang, berbanding RM9,980 sebelum ini.

“Berdasarkan kos menunaikan haji berjumlah RM28,632 seorang, TH masih membiayai antara 55 hingga 62 peratus daripada Kos Haji jemaah Muassasah untuk tahun 2022.

Pada tahun ini, TH menjangka jumlah kos haji untuk jemaah haji Muassasah akan meningkat sehingga RM30,850,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Mohd Na’im berkata, TH sejak 2001 memberikan HAFIS daripada keuntungan aktiviti pelaburan dana pendeposit dengan kos menanggung HAFIS mencecah lebih RM400 juta setahun, manakala jumlah terkumpul antara tahun 2001 hingga 2022 melebihi RM2 billion.

Katanya, HAFIS dibiayai oleh pendeposit TH secara bersama melalui sumber pendapatan pelaburan dana pendeposit yang dijana TH.

“Bantuan ini juga akan memberi kesan kepada agihan keuntungan TH kerana kedua-duanya datang dari tabung yang sama.

“Apabila TH menyalurkan lebih banyak keuntungan daripada pelaburannya sebagai HAFIS, maka jumlah keuntungan yang boleh diagihkan kepada pendeposit akan berkurangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/4/2023

- Advertisement -