
KUALA LUMPUR: Kerajaan menambah baik sistem pembayaran tol di lebuh raya termasuk menggunakan kaedah Sistem Bayaran Terbuka serta pelaksanaan Aliran Pintas Pelbagai Lorong (MLFF).
Timbalan Menteri Kerja Raya, Dato’ Seri Abdul Rahman Mohamad berkata sistem bayaran yang menggunakan e-dompet, kad debit dan kredit dijangka dilaksanakan pada September 2023.
Katanya usaha terbabit merupakan inisiatif awal kerajaan bagi melakukan peralihan dari sistem tol biasa kepada pelaksanaan Aliran Pintas Pelbagai Lorong (MLFF).
“Kita juga mengenal pasti keberkesanan serta masalah sebelum pelaksanaan MLFF secara sepenuhnya di lebuh raya selewat-lewat Oktober 2023.
“Proses migrasi ini merupakan sesuatu yang kompleks kerana melibatkan lebuh raya yang beroperasi, kita komited untuk pastikan MLFF dapat direalisasikan demi kemudahan pengguna,” katanya.
Beliau menjawab soalan Senator Ak Nan A/L Eh Took yang meminta Kementerian Kerja Raya menyatakan mengenai kemajuan terkini MLFF yang dikatakan bakal menyelesaikan masalah di plaza tol.
Sebagai permulaan sebanyak 11 lebuh raya di Pulau Pinang, Kedah, Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya akan melaksanakan sistem bayar secara tanpa tunai selain Touch and Go (TnG).
Ia meliputi Lebuh raya Jambatan Pulau Pinang, Lebuh raya Butterworth Kulim, Lebuh raya Sungai Besi. Lebuh raya Baru Pantai, Lebuh raya Bertingkat Ampang Kuala Lumpur.
Lebuh raya Koridor Guthrie, Lebuh raya Shah Alam, Lebuh raya Daman Puchong, Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat, Terowong Smart dan Lebuhraya Kuala Lumpur Putrajaya.
MLFF merupakan hala tuju kementerian pada masa depan bagi sistem kutipan tol bagi semua lebuhraya serta selaras dengan Plan Pelaksanaan Sistem Pengangkutan Pintar Negara.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebelum ini mengumumkan MLFF akan mengunapakai gabungan teknologi Radio Frequency Identification (RFID) dan Automatic Number Recognition (ANPA). – HARAKAHDAILY 5/4/2023




















