Kerajaan gopoh kejar duti eksais produk vape

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Ahli-Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) menggesa kerajaan menarik semula pengecualian produk cecair atau gel mengandungi nikotin daripada senarai racun.

Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi juga meminta kerajaan menangguhkannya sehingga Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dimuktamadkan.

- Advertisement -

Selain itu, Ahli Parlimen Kuala Langat itu mahu pindaan terhadap kawalan serta sebarang aktiviti penggunaan dan perdagangan vape dibuat.

“Berdasarkan laporan Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), dianggarkan seramai 1.5 juta pengguna vape di Malaysia pada tahun lepas.

“Mereka terdedah kepada risiko penyakit paru-paru, iaitu kecederaan paru-paru berkaitan penggunaan E-Rokok atau Vape. Risiko ini terlalu besar untuk digadaikan dengan kutipan cukai yang bakal dilaksanakan kelak,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Dr Ahmad Yunus yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor melahirkan perasaan bimbang dengan tindakan kerajaan mengecualikan sediaan cecair atau gel itu daripada senarai racun dalam Jadual Pertama, Akta Racun 1952 (Akta 366).

Menurutnya, tindakan kerajaan dibuat ketika banyak pihak giat untuk merealisasikan Dasar Generasi Penamat (GEG) bagi menoktahkan penjualan produk tembakau kepada mereka yang dilahirkan mulai 2007.

“Pengecualian produk cecair atau gel yang mengandungi nikotin dari senarai racun bermakna, jumlah perusahaaan dan pengilang produk itu akan bertambah hingga sukar dikawal.

“Malah, pengguna vape dalam kalangan anak muda dan remaja sekolah boleh mendapatkan produk vape dengan lebih mudah,” katanya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Kesihatan Ahli-Ahli Parlimen PN kesal dengan kegopohan kerajaan yang tergesa-gesa mengambil tindakan ini semata-mata mahu mengenakan duti eksais terhadap produk vape di bawah kawalan Akta Eksais 1976. – HARAKAHDAILY 4/4/2023

- Advertisement -