
KUALA LUMPUR: Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkata, kaedah pampasan wajar diwujudkan sebagai pilihan berbanding hukuman mati mandatori.
Menurutnya, ini membolehkan pesalah mendapat pelepasan daripada hukuman mati.
Namun dalam kes bunuh, katanya hak keluarga mangsa yang dibunuh perlu diambil kira oleh mahkamah.
“Mahkamah perlu meneliti hak keluarga mangsa yang dibunuh kerana dalam Islam, hanya keluarga mangsa yang mempunyai hak untuk mengampuni pesalah,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Hukuman Mati Mandatori di Dewan Rakyat, hari ini.
Abdul Latiff berkata, menjaga nyawa adalah antara lima maqasid syariah, selain menjaga akal, keturunan,keluarga dan harta.
Menurutnya, Islam mengharamkan perbuatan bunuh diri dan membunuh orang lain.
“Ia termasuk dalam dosa besar dan hukumannya sangat keras termasuklah perkara yang tidak disengajakan supaya berhati-hati dalam semua perkara agar tidak mudah melakukan kesilapan yang akan menyebabkan kematian.
“Maka ditetapkan undang-undang yang mendidik penjenayah dan masyarakat, hukuman bunuh tidak boleh dihapuskan dan tidak sewenang-wenang dijatuhkan hukuman dengan tujuan mendidik masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/4/2023




















