LTU guna pakai dua hentian R&R sedia ada

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Projek Central Spine Road (CSR) yang kini dikenali Lingkaran Tengah Utama (LTU) adalah pembinaan lebuh raya tanpa tol sepanjang 298.4 km yang dibahagikan kepada enam pakej utama bagi menghubungkan Kuala Krai, Kelantan ke Lebuhraya Pantai Timur, Pahang.

- Advertisement -

Menurut Kementerian Kerja Raya (KKR), LTU akan mengguna pakai dua hentian rehat dan rawat (R&R) sedia ada di Gua Musang Utara yang terletak di dalam LTU Pakej 2 dan Gua Musang Selatan di dalam LTU Pakej 3 manakala satu R&R baharu akan dibina di lokasi Kampung Relong di kawasan LTU Pakej 4 dan terdapat satu di Bentong yang masih di peringkat perancangan.

KKR menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Senator Dato’ Husain Awang yang minta Menteri Kerja Raya menyatakan adakah pihak kementerian akan mengusahakan lebih banyak kawasan hentian rehat dan rawat di sepanjang lebuh raya itu bagi memudahkan perjalanan jarak jauh pengguna, di Dewan Negara, semalam.

Di samping itu, kata KKR lebuh raya tanpa tol itu direka bentuk sebagai sistem terbuka yang menyediakan beberapa persimpangan bertingkat dan dua puluh tiga jalan susur di sepanjang jajaran LTU bagi memudahkan pengguna jalan raya untuk keluar dan masuk sekiranya perlu disamping memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Antara manfaat yang bakal dinikmati ialah penguraian trafik bagi kawasan sekitar, penjimatan masa perjalanan dan penggunaan jalan raya yang lebih selesa dan selamat.

“Dengan adanya projek sebegini juga, secara tidak langsung dapat menjana pembangunan sosioekonomi di kawasan sekitarnya serta mewujudkan peluang pekerjaan dan industri baharu,” kata KKR lagi. – HARAKAHDAILY 30/3/2023

- Advertisement -